DISAHKAN KANSER UMPAMA DISAMBAR PETIR, KATA KIT SIANG

“ANDA mahu perubahan?” jerit Lim Kit Siang ketika kali pertama memegang mikrofon sekali lagi selepas pulih daripada pembedahan buah pinggang.

Walaupun sudah berusia 76 tahun dan baru saja pulih daripada pembedahan membuang tumor dari buah pinggang kirinya bulan lalu, anak kelahiran Batu Pahat itu tidak nampak kekok langsung untuk terus berada di atas pentas ceramah.

Tetapi tiga jam sebelum itu, ketika ditemu bual The Malaysian Insight, pemimpin veteran itu memberi sedikit imbasan sisi dirinya yang jarang dapat dilihat.

Sepanjang 60 tahun berada dalam arena politik dan tujuh penggal menjadi ahli Parlimen, Lim jarang menunjukkan dirinya di sebalik dunia politiknya.

Ada sesetengah pihak di Malaysia melihat Lim sebagai contoh ahli politik yang anti Melayu dan anti Islam, sementara bagi media, beliau dilihat sebagai pemimpin pembangkang yang mengadakan sidang akhbar setiap hari di Dewan Rakyat.

Tetapi jauh dari pentas dan lobi Parlimen, bagi tempoh beberapa minit, Lim bercakap tentang bagaimana penyakit yang dihadapinya baru-baru ini memberi kesan pada dirinya.

“Agak mencabar untuk kembali selepas pembedahan kanser, proses pemulihan dan tempoh berehat. Tetapi di hujung selepas 60 tahun, anda merasakan ini satu-satunya peluang untuk negara ini dan rakyat dapat perubahan sebenar  ,” katanya sambil menghirup secawan kopi O.

Lim berkata beliau pernah terfikir untuk berhenti buat sementara waktu sebelum pembedahan itu, tetapi sebaik saja selesai pembedahan, idea berkenaan terus hilang.

“Saya pernah terfikir (untuk berhenti). Macam mana kalau habis pembedahan saya tidak keluar dan sebagainya. Tetapi ….,” katanya, sambil tertawa kecil.

“Tetapi ini satu-satunya keadaan di mana kita akan melakukan perubahan dan jika saya terlepas masa ini, maka pilihan raya pada masa depan akan jadi bertambah sukar.”

Walaupun Lim tidak pernah hilang kata-kata ketika berceramah, bekas wartawan Straits Times itu hilang kata-kata ketika ditanya tentang perasannya ketika disahkan menghidap kanser.

“Ia bagai disambar petir. Sudah tentu, anda dapat melihat apa menanti anda. Saya hanya terpaksa melaluinya walaupun jika tidak akan keluar dari bilik pembedahan,” katanya.

Lim berkata tumor itu dikesan secara tidak sengaja ketika menjalani pemeriksaan prostat.

“Pada mulanya mereka kata ia tumor kecil, 2.5cm dan mungkin tidak berbahaya. Satu kemungkinan ialah membuat pemeriksaan sekali lagi empat bulan kemudian tetapi itu juga tempoh pilihan raya mungkin diadakan.

“Dan pemeriksaan lanjut juga menunjukkan ia mungkin semakin teruk. Jadi mengambil faktor masa empat bulan atau 100 hari, dan saya mungkin berdepan pilihan raya yang sukar, saya kata okay untuk menjalani pembedahan membuang tumor itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.