‘DINDING PENJARA TAK HALANG ANWAR DAPAT MAKLUMAT’

Pendapat bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat maklumat yang mencukupi dari dalam penjara adalah tidak benar, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Beliau berkata, dinding penjara bukan penghalang bagi bekas ketua pembangkang itu mendapatkan maklumat yang diperlukan mengenai isu politik melibatkan pembangkang.

“Anwar mempunyai pengetahuan meluas tentang apa yang berlaku (dalam pembangkang).

“Dinding penjara tidak sampai menjadi penghalang kepada maklumat yang beliau ada. Kenyataan beliau bertulis dan pastinya apa yang ditulis mempunyai maksud yang jelas,” kata Shuhaimie ketika dihubungi Malaysiakini.

Shuhaimi berkata demikian ketika mengulas tulisan aktivis politik, Hishamuddin Rais bahawa ada kemungkinan maklumat yang disampaikan kepada Anwar ditambah “Ajinomoto” ekoran perbezaan pendapat dalam agenda kerjasama PKR-PAS.

Menurut Hishamuddin, perbezaan pendapat dalam parti politik adalah biasa tetapi berbeza dengan apa yang berlaku dalam PKR sekarang.

“Perbezaan pendapat dan pandangan dalam PKR ini telah, sedang dan akan mengganggu Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam saat dan masa yang amat kritikal – ketika menghadapi PRU14.

“Pada hemat saya perbezaan pendapat ini berpunca daripada cara dan pendekatan atau metode Ketua Umum PKR, saudara Anwar Ibrahim mengendali dan mengurus pimpinan,” katanya dalam ulasan yang disiar Malaysiakini.

Mesyuarat tertutup

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa sukar untuk parti itu membuat rundingan dengan PAS khususnya dalam soal pembahagian kerusi, ini jawab Shuhaimi:

“Saya berpandangan semua perbezaan tafsiran dan perkara yang melibatkan parti elok dibincangkan dahulu dalam mesyuarat tertutup walaupun kita hormati hak demokrasi seseorang.

“Kadang kala niat baik mungkin sahaja disalah tafsir. Maka adalah lebih sesuai perkara yang melibatkan soal dasar, strategi dan pandangan peribadi diperhalusi dalam mesyuarat tertutup parti,” kata Ketua Penerangan PKR Selangor itu.

Dalam kenyataan Saifuddin kepada Malaysikini hari ini, beliau sedia maklum berkaitan warkah Anwar yang menggesa parti itu tetap berunding dengan PAS.

Bagaimanapun, katanya, parti-parti Pakatan Harapan, termasuk PKR terikat dengan beberapa kenyataan berkaitan perundingan kerusi pilihan raya.

– M’kini

.