“Orang Kristian di Asia Barat (negara-negara Arab) telah dibunuh dalam jumlah yang besar. Kita tidak boleh benarkan kejadian dahsyat ini berterusan.” (29 Jan 2017, 10 pagi)

Apa yang dia tulis itu?

Trump seolah-oleh meme­rintah negara itu bukan dari Oval Office tetapi daripada penthouse Trump Towers di New York atau dari set program realiti televi­syennya, The Apprentice.

Ya dia hidup dalam khayalan dan fantasinya. Dia sedang melakukan taktik psikologi songsang yang paling bodoh dan dahsyat dalam sejarah tamadun negara Amerika.

Amerika kini seolah-olah dipe­rintah oleh seorang badut yang jahat.

Dia dikelilingi oleh para penasihatnya yang taksub agama dan tebal kulit perkauman yang menurut The Washington Post, “Rumah Putih kini beroperasi di atas ideologi nasionalis yang radikal yang kita tidak pernah lihat selama ini…”

Akhbar-akhbar terkemuka Amerika menuduh ketua penasihat Rumah Putih, Stephen K. Bannon sebagai penasihat Trump yang cukup radikal.

Bannon digambarkan oleh Ishaan Tharoor, The Washington Post sebagai, “Trump’s main ideologue, a nativist, a champion of a kind of Christian nationalism and a figure of increasing power behind the scenes. At a confe­rence of European conservatives at the Vatican in 2014, Bannon said he believed the West was “at the beginning states of a global war against Islamic fascism.”

Pagi semalam panel penganalisis CNN, termasuk Zakaria Fareed dipanggil untuk membincangkan satu lagi berita tergempar.

Trump memecat pemangku Peguam Negara yang dilantik­nya sendiri kerana enggan me­laksanakan polisi gilanya yang menghalang kemasukan kaum pendatang Islam ke Amerika Syarikat.

CNN meletak tajuk besarnya, Monday Night Massacre: Trump fires acting AG (Pembunuhan beramai-beramai malam Isnin: Trump pecat pemangku Peguam Negara)

Tidak pernah lagi saya mendengar dalam ulasan warta berita di Amerika selama ini mereka menyebut presiden mereka sebagai seorang diktator.

Satu istilah yang selama ini hanya ditujukan kepada ketua-ketua kerajaan negara asing lain, terutamanya di negara Islam.

Kini mereka mampu menyebutnya kepada presiden mereka sendiri. Trump ialah seorang diktator apabila menandata­ngani berdozen perintah eksekutifnya termasuk yang paling ekstrem iaitu menyekat orang Islam dari tujuh negara Islam memasuki Amerika.

Bukan semua rakyat Amerika yang bersetuju. Malah ahli-ahli Kongres Amerika sendiri pun tidak bersetuju.

Rakyat Amerika berkata rata-rata mereka sama ada berturunan Yahudi, Afrikan-Amerika, berkulit hitam, putih, kelabu, kuning — adalah kaum pendatang.

Trump sendiri berasal daripada kaum pendatang, begitu juga isterinya, Melania.

Penulis The New York Times, Maureen Dowd di awal tulisannya menyebut:

WASHINGTON — So now we’re getting the crazy straight up.

The Doomsday Clock is ticking faster, the resistance is growing, and teetotaler Donald Trump already seems drunk with power.

Betul kata penulis itu. Jam Hari Kiamat (kepada Amerika) sedang mengetip laju. Apabila Trump mendapat kuasa, dia seperti hilang akal. Dia mabuk dengan kuasa. Dia merasakan tindakan populisnya itu sudah cukup untuk mendapatkan lagi sokongan padu.

Dia merasakan hari pertamanya di Rumah Putih adalah hari pertamanya juga untuk me­rangka strategi perang seterusnya bagi menghadapi musuh-musuh politiknya agar kekal memerintah bagi empat tahun akan datang.

Melihatkan corak pemerintah­an dalam minggu kedua ini, hanya rakyat Amerika yang dapat menentukan nasib Trump. Sama ada Trump syok sendiri, atau rakyat Amerika ketuanan-putih totok yang mengambil pendekatan se­nyap dan memerhati. Hanya masa sahaja yang akan menentukan.

Media Amerika rata-rata menye­rangnya. Negara-negara du­nia sedang mentertawakan beliau.

Dalam dua hari sahaja, satu petisyen online oleh seorang rakyat Britain menentang lawatan rasmi Trump ke negara itu sudah mendapat hampir dua juta tandatangan.

Orang macam saya tidak se­nang duduk menonton warta berita CNN, BBC, Al Jazeera dan saluran berita lain.

Ia adalah satu soap-opera terhebat abad ini.

Amerika dan Trump kini menjadi “bahan ketawa” atau laughing stock yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara itu.

Amerika sebuah negara hebat, kini diperintah oleh seorang yang terlalu syok sendiri atau narcissist.

Akhbar The Mirror UK dalam tajuk beritanya menulis: Psychologists warn Donald Trump ‘displays all the classic signs of being mentally ill narcissist’ (Ahli-ahli psikologi memberi amaran Donald Trump ‘memperlihatkan simptom klasik seperti orang sa­kit mental syok sendiri’

Trump perasan dialah yang pa­ling hebat, cukup berkuasa, boleh memecat orang ikut suka, seorang Kristian yang alim — tapi realitinya seorang yang amat jahil.

Menurut The Mirror lagi, Hillary Clinton pernah menggelarkan Trump sebagai “temperamentally unfit to be Commander-in-Chief — now people are asking, was she right?” (Trump tidak sesuai memegang jawatan ketua pemerintah — sekarang orang mula bertanya, benarkah apa yang Hillary kata itu?)

Kita bimbang jika orang gila dapat kuasa, samalah seperti Adolf­ Hitler, melaksanakan exe­cutive order satu ketika dahulu!

Kita tunggu dan lihat lagi…