DIKEJAR JPJ, MPV KLON REMPUH DUA KERETA MEWAH

NILAI – Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) klon merempuh empat kenderaan lain ketika lari dari dikejar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

MPV itu melarikan diri sejauh tujuh kilometer setelah tiga penguatkuasa JPJ mendapati gelagat mencurigakan pemandu lelaki, 32, pada 7 malam kelmarin.

Ketua polis daerah Nilai berkata suspek memecut sebelum merempuh kereta Mercedes di persimpangan Jalan Perak, di sini, lapor Harian Metro.

Supt Zaldino Zaludin berkata suspek kemudian memecut ke Kawasan Perindustrian 3 dan melanggar lampu isyarat merah.

“Kenderaan suspek merempuh Proton Exora sebelum terbabas dan melanggar kereta BMW menyebabkan kereta itu hilang kawalan dan melanggar Perodua Axia serta kenderaan peronda JPJ yang mengejar suspek,” katanya.

Zaldino berkata suspek mendakwa melarikan diri kerana lesen dan cukai jalan kenderaan tamat tempoh.

Suspek direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Pengarah JPJ Negri Sembilan Azrin Borhan pula berkata kenderaan yang dinaiki suspek adalah kereta klon dengan nombor pendaftaran kereta lain dan tiada rekod nombor enjin.

– http://www.themalaymailonline.com

.