DIFITNAH DALAM ARTIKEL RAJA PETRA, PENGARANG SARAWAK REPORT LAPOR POLIS

PENGARANG Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown berdepan tohmahan berbaur perkauman berikutan artikel yang ditulis blogger Raja Petra Kamaruddin yang mendorongnya mendapatkan bantuan polis.

Pengarang laman pemberi maklumat itu memberitahu The Malaysian Insight artikel itu juga menghasut pembaca untuk membencinya atas alasan agama dan kaum.

Rewcastle-Brown baru-baru ini membuat aduan terhadap Raja Petra di United Kingdom (UK). Polis kemudian memberi amaran kepada blogger itu agar berhenti menulis mengenai Rewcastle-Brown.

Rewcastle-Brown memberitahu The Malaysian Insight beliau akan menyerahkan kepada pihak polis  untuk menguruskan perkara itu.
“Saya tidak ingin mengulas lanjut mengenai perkara yang sedang diuruskan pihak polis, kecuali mengatakan tulisan ini membawa kepada tohmahan berbaur perkauman dan menghasut kebencian atas dasar agama dan perkauman.

“Ini melampaui sempadan libel terbaharu dalam laman sesawang ini, yang mana Raja Petra kini mengakui beliau bertanggungjawab,” katanya kepada The Malaysian Insight menerusi e-mel.

Beliau tidak mahu mengulas mengenai fitnah itu sebaliknya melampirkan artikel kepada The Malaysian Insight, menunjukkan laporan mengenai tuduhan Raja Petra terhadap beliau dan Sarawak Report pada 29 Jun.

Antara dakwaan dalam laporan itu ialah Sarawak Report yang berdepan ugutan saman oleh PAS, beliau berpura-pura tidak mempunyai wang untuk melawan kes itu, sedangkan Recastle-Brown didakwa menerima wang puluhan juta daripada individu tertentu termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyerang Perdana Menteri Najib Razak dengan “berita palsu mengenai isu 1MDB”.

PAS menyaman Sarawak Report berkaitan artikel yang mendakwa parti itu menerima RM90 juta daripada Najib untuk mengundur diri daripada Pakatan Harapan (PH).

Menurut Raja Petra, Sarawak Report mendakwa pakatan PAS-Umno adalah perjuangan yang menggerakkan ekstremisme dan menjejaskan undang-undang sivil.

Blogger itu juga mengatakan saranan Sarawak Report iaitu rang undang-undang Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk meningkatkan kuasa mahkamah syariah adalah tindakan keganasan Islam serta menjadi satu penghinaan kepada PAS dan Hadi; dan mencemar Islam dan undang-undang Syariah.

Beliau juga berkata Sarawak Report “memasuki domain Islamophobia, penyamaran sebagai kebebasan bersuara dan pastinya kaum Cina dalam DAP menyukai semua perkara yang menghentam Islam ini.”

Dilaporkan juga sebelum ini yang Raja Petra atau lebih dikenali dengan parap RPK, juga didatangi polis Manchester di kediamannya bagi memaklumkan aduan dibuat terhadapnya mengenai artikel berkaitan Rewcastle-Brown.

Dalam aduan itu, disebut Raja Petra menulis artikel yang menunjukkan rumah Rewcastle-Brown dan menuduhnya sebagai satu contoh “ketuanan orang putih” paling teruk.

Ia juga menyatakan jumlah artikel yang didakwa diterbitkan tentang Rewcastle-Brown adalah antara satu hingga dua kali seminggu selama dua hingga tiga bulan lalu.

Polis dilaporkan memberitahu Raja Petra yang beliau akan ditangkap dan didakwa di mahkamah jika menulis sebarang artikel lanjut mengenai Rewcastle-Brown atau menyebut namanya dalam mana-mana artikel.

Dilaporkan juga Raja Petra mendakwa Rewcastle-Brown sendiri menulis tentang orang lain, seperti Najib.

Raja Petra dilaporkan memberitahu polis yang beliau tidak akan berhenti menulis mengenai pengarang Sarawak Report itu atau menyebut namanya dalam artikel, sambil menambah sebelum ini beliau pernah ditangkap berkali-kali dan ditangkap sekali lagi bukanlah masalah besar.

– https://www.themalaysianinsight.com

.