Diejek ‘Train to Busan’, Prasarana jadikan pedoman

Dikecam di media sosial ekoran kejadian kereta api LRT tergendala minggu lalu, Prasarana Malaysia Berhad menganggap ia sebagai pedoman untuk masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, walaupun dijadikan bahan jenaka, beliau menganggap kritikan dibuat kerana pengangkutan itu sudah dekat di hati masyarakat.

“Yang itu saya lihat sebagai satu pedoman yang mana kebanyakan pengguna kita dan orang yang belum guna (perkhidmatan LRT) sudah ada rasa pemilikan.

“Dia rasa sistem kereta api ini sudah dekat dengan mereka.

‚ÄúSebab itu adanya peluang untuk mereka memberi maklum balas di mana kita akan lihat itu (sebagai) bagaimana untuk tangani masalah ini di masa depan,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung reaksi pengguna Internet, yang antaranya menyindir LRT dengan mengubah suai poster filem Korea terkenal yang sedang ditayangkan Train to Busan.

Poster itu memuatkan orang ramai yang terpaksa berjalan di atas landasan LRT dengan membuat muka mengerikan ala watak dalam filem Zombie itu.

Pada sidang media sama Azmi turut mengumumkan Prasarana akan menaik taraf sistem transit aliran ringan itu bermula minggu depan.

Katanya, kos untuk meningkatkan sistem tersebut mencecah RM250 juta dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Bagaimanapun kerja-kerja naik taraf akan dilakukan pada laluan Kelana Jaya sahaja buat masa ini.

“Kita kena percepatkan usaha tindakan kita untuk naik taraf beberapa komponen penting di laluan Kelana Jaya terutama dari segi bekalan kuasa elektrik yang membekal tenaga pada kereta api untuk gerakkan kereta api.

“Kita dah mula usaha naik taraf semua substesyen yang sudah dikenalpasti. Penggantian kabel-kabel yang dah uzur juga akan dilakukan secepat mungkin,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga mengumumkan pemberian diskaun tiket sebanyak 50 peratus kepada semua pengguna LRT laluan Kelana Jaya, Sri Petaling, Monorel dan Bandar Sunway.

Katanya orang ramai akan menerima diskaun itu bermula esok sehingga pada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Potongan 50 peratus itu juga hanya pada hari Isnin hingga Jumaat dan antara jam 6 hingga 7 pagi sahaja.

Selain itu, mengulas mengenai sistem keselamatan yang dilaksanakan oleh Rapid Rail ketika kejadian LRT tergendala minggu lalu, Azmi memberitahu bahawa pihaknya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, pada kejadian Jumaat lalu, orang ramai melalui jalan khas yang dibina jika berlakunya kecemasan.

“SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) dah arahkan pihak Rapid Rail untuk kaji semula dan beri peningkatan pada SOP sedia ada.

“Saya nak maklumkan pada hari tersebut, penumpang bukan jalan atas rel tetapi laluan keselamatan yang direka bentuk.

“Pemindahan pada hari itu juga dijalankan dengan selamat dan berjaya,” katanya lagi.

Jumaat lalu Rapid Rail Sdn Bhd memohon maaf dan memberi perkhidmatan percuma selama tiga hari kepada pengguna LRT laluan Kelana Jaya bermula 13 hingga 15 September.

Perkhidmatan percuma itu juga bagi perjalanan dari stesen Gombak-Putra Heights-Gombal yang meliputi 37 stesen.

Ia berikutan gangguan perkhidmatan yang berlaku pada Rabu dan Jumaat minggu lalu yang disebabkan hilang punca kuasa elektrik.

Ekoran itu, ramai pengguna kesal dan marah kerana terkandas semasa ke tempat kerja serta pada Jumaat pengguna LRT perlu berjalan sejauh 60 meter di atas landasan LRT berhampiran stesen Datuk Keramat sehingga Stesen Damai. – M’kini

.