DIA ‘ADA MASALAH OTAK’, KATA PUA

DAP menyifatkan anggota parlimen Padang Besar daripada BN Datuk Zahidi Zainul “ada masalah otak” kerana mengaitkan isu banjir besar di Pulau Pinang dengan karma.

Menolak kenyataan itu, setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata Zahidi berkata Kelantan dan Kedah juga turut dilanda banjir.

“Kita tak boleh kaitkan bencana dengan agama. Itu tak sepatutnya dikaitkan. Jika terjadi (bencana) di Kelantan apakah maksudnya? Jika berlaku banjir di Kuala Lumpur apa maksudnya? Langsung tidak ada kaitan.

“Orang yang hendak kaitkan bencana dengan agama ada masalah otaknya. Apa yang mereka sebut tidak masuk akal,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di parlimen hari ini.

Zahidi semalam menyifatkan banjir besar yang melanda utara semenanjung Malaysia dan membangkitkan kemungkinan bencana itu adalah karma (balasan tuhan).

Ketika membahaskan Bajet 2018 di parlimen semalam, beliau berkata banjir terjadi kerana penebangan hutan di kawasan bukit dengan cara tidak betul serta melalukan perbuatan yang melanggar agama.

“Jangan lupa, kadang-kadang apabila kita melakukan perkara-perkara yang tidak baik.

“Antaranya, kita melaga-lagakan sesama agama. Kita menghina agama, menganjurkan pesta-pesta yang jauh tersasar daripada agama orang lain dan membangkitkan kemarahan orang lain.

“Maka sudah tentulah hukum karmanya akan tiba dan rakyat yang menderita,” katanya.

Ujian, kata Khalid Samad

Sementara itu anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad pula menyifatkan perubahan iklim yang berlaku adalah ujian kepada semua dan tidak boleh disifatkan sebagai karma.

“Bila benda sebegini berlaku kita kena bantu. Jangan kritik. Kita tumpu nak bantu dan tunjuk keprihatinan kita nak bantu kepada semua. Itu ujian Dia.

“Kalau kita pandai-pandai nak keluarkan hujah sebegitu, banyak negeri dilanda banjir, kedah, Kelantan dan tak boleh dengan sewenang-wenangnya beri kesimpulan sebegitu,” kata pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) itu.

– M’kini

.