DI TERENGGANU, PILIHAN BUKAN LAGI ANTARA PAS ATAU UMNO

PENGUNDI di Terengganu perlu menghapuskan tradisi mereka yang selama ini hanya memilih antara Barisan Nasional (BN) atau PAS jika mereka mahu negeri dan negara ini bergerak maju, kata Pakatan Harapan (PH).

Gesaan itu dibuat pakatan pembangkang yang baru ditubuhkan itu dalam cubaanya meluaskan pengaruh ke negeri Pantai Timur kaya minyak itu yang selama ini didominasi oleh Umno dan PAS, kedua-duanya musuh politik PH.

Kempen PH di Terengganu pada hujung minggu ini mencapai kemuncaknya pada ceramah di Kuala Terengganu yang dihadiri pemimpin utamanya termasuklah Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Husam Musa. Masing-masing mewakili parti komponen yang membentuk PH iaitu Amanah, Bersatu, PKR dan DAP.

Malah pemimpin PAS Terengganu Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sendiri menyokong gesaan ini berkata yang satu-satunya pilihan yang perlu pada pilihan raya akan datang adalah antara PH atau Barisan Nasional.

Undi kepada pembangkang ketiga seperti PAS adalah undi kepada BN, kata Syed Azman kepada The Malaysian Insight.

Pemimpin kanan PH Husam Musa turut menyifatkan PAS sebagai menyebelahi Umno kerana parti Islam negara itu seolah-olah merestui salah laku jenayah yang dilakukan parti pemerintah berkaitan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Misalnya pemimpin PAS tidak mengecam temasya mewah yang dianjurkan ahli perniagaan Low Teck Jho yang didakwa menggunakan wang hasil rompakan 1MDB, kata Husam yang merupakan naib presiden Amanah.

Pemimpin PAS Terengganu termasuklah Presiden Abdul Hadi Awang turut gagal mengetengahkan isu 1MDB ketika ia mula berlaku sedangkan ia berasal di negeri itu daripada agensi yang dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA).

Husam Musa mempertikaikan tindakan PAS yang seolah merestui jenayah dilakukan 1MDB serta tindakan ustaz dalam parti Islam itu yang diam seribu bahasa tentang keborosan melampau 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Ogos, 2017.
Husam Musa mempertikaikan tindakan PAS yang seolah merestui jenayah dilakukan 1MDB serta tindakan ustaz dalam parti Islam itu yang diam seribu bahasa tentang keborosan melampau 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Ogos, 2017.

“Apa yang ustaz PAS cakap tentang semua arak yang dibeli guna duit 1MDB?” soal Husam kepada hadirin di ceramah “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di bandar itu malam tadi.

Husam merujuk kepada dakwaan pihak berkuasa Amerika Syarikat yang dianggarkan AS$4.5 bilion yang dirompak daripada 1MDB digunakan untuk mengadakan majlis keraian mewah, membeli arak mahal dan dihabiskan kepada model terkenal.

“Apa yang mereka kata tentang semua parti arak yang mereka buat? Semua model bogel mereka upah untuk parti dalam bot? Saya tak faham bagaimana ustaz ini boleh puas hati dengan penjelasan 1MDB.”

Pemimpin PAS sebelum ini dilaporkan berkata yang mereka berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB selepas pertemuan dengan presiden syarikat sarat hutang itu, Arul Kanda Kandasamy. Tetapi pada masa yang sama, mereka jugamahukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal itu.

Husam juga mengkritik Hadi kerana mendakwa perlu adanya empat orang saksi bagi membuktikan pertuduhan ke atas 1MDB.

“Seperti Hadi nak lindungi Najib. Jadi dalam pilihan raya nanti, pilihan adalah antara Umno yang dibantu PAS lawan Pakatan Harapan.”

Rakyat Terengganu perlu menghapuskan idea mereka yang hanya ada dua pilihan undi, sama ada untuk BN atau PAS, katanya lagi.

“Sekarang dacing (BN) dah tak seimbang, bulan (PAS) pun dah gerhana, Jadi tolong fikir tentang ini,” katanya lagi.

Dr Mahathir Mohamad turut mengecam PAS, mengatakan yang parti itu menggunakan agama untuk meraih sokongan politik dan ini menyebabkan wujud percanggahan sesama mereka dan mengelirukan ramai orang Islam.

“Pada 1980-an, PAS mengkafirkan ahli Umno dan kalau mati sebab lawan Umno maknanya mati syahid,” kata Dr Mahathir yang merupakan bekas perdana menteri Umno-BN sejak 1981 hingga 2003 tetapi kini menerajui pembangkang.

“Tetapi sekarang Umno dah tak haram nak kerjasama. Sebabnya PAS hanya gunakan Islam untuk membezakan diri mereka daripada Umno sebab nak dapat undi”.

– https://www.themalaysianinsight.com