DI NEGARA DIKTATOR SAJA MURID KENA KIBAR BENDERA PARTI, KATA DR MAHATHIR

SATU program bertemakan Umno diadakan di sebuah sekolah di Putrajaya semalam petanda yang parti itu takut, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, menyamakan ia dengan sistem digunakan negara ditadbir oleh diktator.

Pengerusi Bersatu itu berkata hanya diktator yang akan memaksa rakyatnya menyokong mereka dan amalan itu kini merebak ke Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

“Mereka sudah bankrap, mereka tidak tahu apa lagi hendak buat.

“Mereka takut, mereka terpaksa buat semua perkara yang silap, ini seperti sistem yang diamalkan oleh diktator,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat partinya di Petaling Jaya, hari ini.

Beliau mengulas mengenai klip video yang menunjukkan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor melawat sebuah sekolah rendah di Presint 14, Putrajaya semalam.

Video itu menunjukkan beliau membuat pemeriksaan di sekolah itu sementara muridnya menyanyikan lagu Umno dan mengibarkan bendera parti.

Tengku Adnan turut menyampaikan hadiah untuk pertandingan “Umno dan Kemerdekaan”.

Murid dan guru SK Putrajaya Presint 14 (1) mengambil bahagian dalam pertandingan “menghias kelas dan persembahan”, dianjurkan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendidikan Putrajaya, biro pendidikan Umno bahagian Putrajaya dan dua lagi kumpulan persatuan sivil.

Ketika lawatannya ke sekolah di Putrajaya itu, Tengku Adnan dilaporkan turut mempelawa guru menyertai Umno dan bertanding dalam parti.

Dr Mahathir menafikan beliau ada melakukan amalan yang sama sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri, berkata salah untuk sebuah kerajaan menyebelahi mana-mana parti politik, termasuk parti pemerintah.

“Kita tidak boleh guna jentera kerajaan berkhidmat untuk kepentingan parti, itu salah.

“Tetapi kerajaan tidak ada kedaulatan undang-undang, mereka akan buat apa saja. Tetapi saya percaya rakyat tahu yang ini penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan,” katanya.

Awal hari ini Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa berkata tidak ada isu jika guru, yang juga penjawat awam mahu menyertai Umno.

– https://www.themalaysianinsight.com

.