DEWAN TOLAK SOALAN SIAPA BAYAR #RESPECTMYPM

Status Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sering dibanjiri dengan beribu-ribu komen #RespectMyPM.

Pembangkang justeru mengesyaki terdapat kempen terancang digerakkan pasukan siber yang mungkin menggunakan dana awam.

Soalan itu dibangkitkan oleh anggota parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin di Dewan Rakyat.

Beliau bagaimanapun kesal apabila ia ditolak atas alasan soalan dewan tidak boleh berdasarkan sangkaan.

“Dewan Rakyat telah menolak soalan saya. Saya minta perdana menteri nyatakan jumlah perbelanjaan untuk mendanai pasukan siber #RespectMyPM.

“Alasan ditolak kerana pertanyaan tidak boleh mengandungi apa-apa hujah sangkaan. Jadi saya nak nyatakan kekesalan saya.

“Kita sedia maklum setiap posting perdana menteri ada beribu komen #RespectMyPM dan semestinya ia dilakukan oleh kumpulan yang diupah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini.
Shamsul berkata beliau membangkitkan perkara itu kerana bimbang wang rakyat yang membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) digunakan.

“Pada saya tindakan pasukan siber ini memalukan Malaysia.

“Sebagai wakil rakyat saya nak tanya adakah benar duit rakyat yang telah bayar GST diguna? Jika benar, berapa jumlahnya?” katanya lagi.

– M’kini

.