DENGAR ‘CITER’ ZAHID NAK LAWAN NAJIB: ARMADA

KUALA LUMPUR – Satu protes aman terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diadakan Armada Bersatu di hadapan pekarangan jalan masuk ke Parlimen hari ini.

Protes diadakan susulan kenyataan Zahid yang didakwa membocor maklumat peribadi Mahathir dengan cara yang salah.

“Dengar citer Zahid yang nak lawan Najib.

“(Ahmad) Zahid terdesak jatuhkan Najib!,”  itu antara paparan plakad yang dibawa ahli Armada Bersatu sempena protes berkenaan.

Lebih 20 ahli Armada Bersatu menyertai protes berkenaan.

Protes diketuai oleh Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah dan Ketua Wilayah Persekutuan, Zahin Zainal.

Dalam pada itu menurut Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah, laporan polis telah dilakukan oleh pihaknya susulan fitnah dan agenda perkauman yang ditimbulkan oleh Ahmad Zahid.

“Kami sudah buat laporan polis di Putrajaya, dan laporan juga telah dibuat terhadap Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara kerana disyaki membocorkan maklumat,” katanya dalam sidang media di pekarangan jalan masuk Parlimen sebentar tadi.

Sebelum ini Zahid dipetik berkata beliau mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun.

Menurutnya ini berikutan susur galur keturunan Mahathir berasal dari India.

“Itulah sebabnya orang itu (Mahathir) kata Melayu mudah lupa, dia lupa dia dah 22 tahun. Saya tak sentuh pribadi.

“Tetapi ini IC (kad pengenalan) biru dia dulu, nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty, ini dihantar oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara. Patutkah dia kata kita mudah lupa, anak lelaki Iskandar Kutty.

“Orang itulah yang perjuangkan agenda Melayu untuk menggunakan orang Melayu,” katanya ketika berucap di majlis penutup Umno Bahagian Kelana Jaya, kelmarin.

Sedutan video kenyataan Zahid itu tular dimedia sosial sejak kelmarin.

– SH

.