DENDAM KESUMAT: ‘MAHATHIR RELA DIPERKUDAKAN DAP ASALKAN UMNO MUSNAH’ – PUAD

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengaku bahawa pandangan beliau dahulu tentang DAP adalah tidak benar.

Beliau menganggap kehadiran pertamanya di Persidangan Tahunan DAP 2016, semalam sebagai satu ‘pengalaman baru’. Baginya DAP adalah parti yang mewakili pelbagai kaum, bukan hanya kaum Cina semata-mata.

Baru dia tahu DAP bukan parti Cina, tetapi sebuah parti pelbagai kaum. “Pandangan saya mengenai DAP sebelum ini tidak betul,” katanya.

Tidak sukar untuk memahami kenapa Mahathir berkata sedemikian. Bukan kerana beliau mudah lupa tetapi Mahathir terpaksa buat buat lupa untuk menghalalkan strateginya untuk menjahanamkan Umno.

Mahathir sanggup diperkudakan oleh DAP untuk menjawab serangan Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan penggulungannya bahawa Umno sekarang ini berlawan dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP bukannya Mahathir.

dap national congress 041216 lim kit siang mahathir mat sabu

Dendam kesumat

Kini jelas Lim Kit Siang adalah Ketua De Facto Pembangkang bukannya Mahathir.

Mengheret Mahathir ke Persidangan Tahunan DAP dan memintanya berucap membela DAP merupakan kejayaan halus DAP memperkudakan bekas perdana menteri itu.

Tetapi Mahathir tidak peduli semua itu asalkan Umno musnah dan lebur dalam pilihan raya umum ke-14.

Dendam kesumat Mahathir terhadap Najib kerana tidak membantu anaknya, Datuk Seri Mukhriz menang Naib Presiden Umno tidak lagi boleh dibendung selain isu jambatan bengkok dan isu Proton.

Ternyata pendedahan Najib sewaktu ucapan penggulungan menjadikan DAP seperti cacing kepanasan dan defensif. Mereka tidak menjangka Najib akan berbuat demikian.

Macam macam alasan Mahathir untuk memuji DAP seperti pengunaan bahasa kebangsaan dalam lagu DAP termasuk ucapan yang disampaikan dalam bahasa kebangsaan. “Ini tak terdapat dalam MCA,” ujarnya.

Tetapi lupakah Mahathir, DAP hanya meniru strategi PAP Singapura. Lagu Kebangsaan Singapura adalah dalam Bahasa Melayu, tetapi apa terjadi kepada orang Melayu akibat dasar Malaysian Malaysia yang diamalkan di Singapura?

Dasar yang sama inilah juga digunakan oleh DAP. Mereka memperjuangkan ‘Malaysian Malaysia’ atau sekarang dikenali ‘Middle Malaysia’. Itu berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan mengenai Hak Keistimewaan Orang Melayu dalam Fasal 153.

Negara Kristian

Bahkan dalam Perlembagaan DAP cukup jelas mereka memperjuangkan penubuhan sebuah negara “sekular”. Ini juga bertentangan dengan spirit Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan.

Sebelum ini timbul kekecohan dalam pertemuan paderi-paderi yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Jelutong iaitu Jeff Ooi untuk menjadikan negara ini sebagai negara Kristian. Perkara ini didedahkan oleh Encik Razali bekas ahli strategik DAP.

Tindak tanduk DAP tidak menggambarkan bahawa ia adalah parti berbilang kaum. DAP membela kuat SJKC tetapi tidak peduli nasib sekolah kebangsaan khususnya di kawasan pedalaman.

Lihatlah nasib orang Melayu di Pulau Pinang sejak pentadbiran DAP. Mereka semakin terpinggir dan dianaktirikan. DAP hanya menjuarai isu kaum Cina.

Umno pula adalah parti inklusif yang bukan sahaja untuk tiga juta ahli Umno tetapi juga pembela rakyat yang sekarang ini berjumlah hampir 31 juta orang.

Justeru, Mahathir hanyalah kuda tunggangan kepada Kit Siang yang sekarang ini adalah De Facto Opposition Leader. Bukannya Mahathir.

Datuk Mohd Puad Zarkashi adalah ahli majlis tertinggi Umno

MKINI

.