DEKLARASI BELT AND ROAD TARIK MINAT PELABUR ASING

KUALA LUMPUR  – Inisiatif MCA dalam menandatangani deklarasi program Belt and Road antara Malaysia dan China hari ini dilihat bakal menarik minat pelabur asing dan membuka peluang perniagaan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, deklarasi itu merupakan tanda soko­ngan program tersebut susulan kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membawa pulang pelaburan bernilai RM114 bilion hasil lawatan ke China baru-baru ini.

“Kerajaan China sedang me­numpukan sepenuhnya program Belt and Road dan ketika ini lebih 65 buah negara yang menyertai program tersebut termasuk Malaysia dan ini secara tidak langsung membuka peluang kepada negara-negara lain untuk melabur di negara ini.

“Melalui inisiatif ini, kami yakin ia akan memberi manfaat kepada eko­nomi negara malah menjadi penghubung kepada Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC),” katanya selepas majlis menandatangani deklarasi Belt and Road di Wisma MCA di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Duta China ke Malaysia, Dr. Huang Huikang.

Sebanyak 46 organisasi dan persatuan menandatangani dek­larasi tersebut dalam menghubungkan Malaysia-China baik melalui darat mahupun laut sebagai usaha menceburi pasaran Asia dan Eropah.

MCA turut melancarkan Pusat Belt and Road MCA (Mbrace) iaitu sebuah laman web yang bakal dijadikan platform untuk berkongsi maklumat, membantu komuniti usahawan tempatan dan penghubung kepada peluang perniagaan antara Malaysia dan China.

– http://www.utusan.com.my

.