DEEPAK DIDAKWA SERAH RM250,000 PADA PEGUAM SANTAMIL

Peniaga permaidani kontroversi Deepak Jaikishin dikatakan menyumbang RM250,000 secara peribadi kepada peguam Santamil Selvi susulan tindakan undang-undang balu P Balasubramaniam dan anaknya pada beliau dan lapan lagi.

Peguam Americk Sidhu berkata beliau menerima wang tunai itu di pejabatnya pada 2 November.

Americk membuat dakwaan itu dalam afidavit sokongan terhadap permohonan Santamil untuk mengetepikan pernyataan pembelaan kedua Deepak yang difailkan pada 6 November, juga permohonan untuk menggugurkan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai peguam Deepak.

Americk mengesahkan afidavit lebih 100 muka surat pada 16 November, termasuk keterangan untuk menyokong lampiran dalam tuntutannya.

Pengurusan kes di Mahkamah Tinggi untuk menggugurkan Shafee dan mengetepikan pembelaan Deepak ditetapkan pada 6 November.

“Dalam beberapa perbualan saya dengan defendan kelapan (Deepak) dalam bulan-bulan lalu dan pertemuan bersemuka dengannya semasa dua minggu pertama Oktober 2017, saya diberi gambaran bahawa defendan kelapan benar-benar simpati terhadap masalah kewangan anak guam saya susulan penglibatannya dalam isu itu atas arahan defendan perdana (Datuk Seri Najib Razak) dan defendan kedua (Rosmah Mansor),” menurut Americk dalam afidavit yang dilihat Malaysiakini.

– M’kini

.