DEDAH SIAPA 4 ADUN PKR MAHU LOMPAT

AMPANG – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Exco Pemuda Umno Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menamakan empat ahli parlimen yang didakwanya bakal melompat parti pada PRU depan.

Jamal dan Armand Azha menegaskan, dakwaan Azmin empat pemimpin PKR bakal melompat parti hanya penipuan.

“Kami rasa Azmin menipu rakyat Selangor. Kita tahu beliau juga telah mengutarakan perkara ini pertama kali pada zaman Tan Sri Khalid Ibrahim (menjadi menteri besar sebelumnya) namun akhirnya tidak ada,” katanya.

Armand Azha, yang juga Timbalan Presiden Giat Mara Malaysia berkata, dakwaan tersebut hanya satu permainan politik, bagi menutup kelemahan atau salah guna kuasa dan isu rasuah yang mengaitkan seorang pemimpin muda PKR.
“Bagi saya sepatutnya PKR melihat perkara ini secara serius bukannya mengalih perhatian dalam isu tersebut,” katanya yang ditemui selepas prosiding sebutan kes Jamal dan sembilan lagi di Mahkamah Ampang, semalam.

Sehubungan itu, beliau menuntut Azmin membuat kenyataan secara rasmi dengan mendedahkan siapa individu yang dimaksudkan itu.

Jika tidak, katanya, Azmin dianggap menipu rakyat dan perlu minta maaf secara terbuka.

“Namakan siapa. Adakah dia sendiri dan tiga yang lain? Mungkin beliau memang bercita-cita untuk masuk Umno atau BN,” katanya.

Beliau mahu tahu adakah Azmin tidak percaya kepada kepimpinan PKR, atau ada keretakan dalam parti itu.

– M’kini

.