DEDAH AUDIT 1MDB, HUKUMAN 18 BULAN PENJARA RAFIZI KEKAL

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang didapati bersalah mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Rafizi yang juga naib presiden PKR, terhadap sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan pada 14 November, 2016.

Azman bagaimanapun melepaskan dan membebaskan Rafizi, 40, daripada sabitan dan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Dalam penghakimannya hakim itu berkata, hukuman 18 bulan yang dijatuhkan tidak terlalu berat selepas mengambil kira hukuman minimum bagi kesalahan itu ialah kurang daripada satu tahun dan maksimum tujuh tahun.

Azman turut membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Rafizi untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan kes berkenaan di Mahkamah Rayuan selesai dan mengekalkan jaminan RM20,000.

Mengikut peruntukan undang-undang Rafizi akan hilang kelayakan untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum kerana seseorang yang disabitkan dan dihukum denda RM2,000 atau penjara lebih setahun tidak boleh menjadi calon.

Pada 14 November, 2016 Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Rafizi yang menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Mahkamah Sesyen mendapati Rafizi bersalah memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen pada 3 petang, 24 Mac, 2016 mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Rafizi turut didapati bersalah mendedahkan kandungan laporan itu dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac 2016, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama juga membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

– Bernama

.