DEBAT DENGAN DR M: NAZRI AKUI ‘KELIRU’

Semuanya boleh dikatakan sudah diuruskan dan majlis debat antara Datuk Seri Nazri Aziz dengan Tun Dr Mahathir Mohamad akan berlangsung sembilan hari lagi.

Tetapi menteri pelancongan dan kebudayaan itu mengakui “keliru” apabila kerajaan dan Umno mendakwa beliau berhujah tidak mewakili mereka.

Pada masa sama, kata Nazri, pembangkang menganggap beliau bercakap nanti adalah mewakili kerajaan.

Dalam keadaan begitu, Nazri berkata: Senang saja.

“Saya mewakili pengundi Padang Rengas kerana saya ahli parlimen Padang Rengas,” katanya kepada media di parlimen hari ini.

Debat antara dua tokoh yang sudah lama saling berbalas hujah itu dijadual diadakan di Padang Rengas dan kedua-dua pihak bersetuju mengadakannya pada 25 Mac ini.

Isu 1MDB dan skandal Bumiputra Malaysia Finance dijangka menjadi tumpuan dalam perdebatan berkenaan.

Setakat ini sekurang-kurangnya dua pemimpin Umno sudah membayangkan parti itu menjarakkan diri daripada debat berkenaan, iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Kata Nazri, semasa perdebatan itu nanti beliau akan berhujah untuk mempertahankan perdana menteri kerana kedudukannya sebagai anggota kerajaan.

Berjalan 200 meter

Bahkan, katanya, jawatannya sekarang diperoleh atas lantikan perdana menteri.

“Ke mana saya pergi pun, saya tak boleh lari daripada hakikat bahawa saya adalah MP BN dan juga ahli jemaah menteri,” katanya.

Namun, katanya, terserah kepada mana-mana pihak untuk mentafsir tindakan berdepan dengan Dr Mahathir itu nanti.

“Apa yang saya tahu, saya mewakili suara Padang Rengas sebab Padang Rengas sudah mengundi saya lima kali,” katanya yang menjadi wakil rakyat di situ sejak 1995.

Mengenai persiapan debat itu, Nazri berkata, setakat ini semuanya berjalan lancar dan polis juga memberikan pandangan berhubung aspek keselamatan.

Katanya, pihak Maktab Rendah Sains MARA Kuala Kangsar juga memberikan kebenaran untuk beliau menggunakan dewan mereka.
“Cuma kapasitinya 800 orang saja. Jadi ada yang tanya (sama ada) perlu hadkan (penonton) hanya seramai 200 orang.

“Saya kata, tak payahlah buka untuk semua orang dan kita akan pastikan keadaan terkawal sebab itu kawasan sekolah.

“Saya dengar, polis nak pastikan kereta diletak di luar kawasan dan penonton kena berjalan kira-kira 200 meter ke dewan,” katanya.

– M’kini

.