DEBAT 1MDB: TUN DAH MAKLUM KEPADA KAMI, HARAP KEBENARAN TERSERLAH

IPOH – Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 25 Mac depan di Padang Rengas.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman berkata, maklumat berkaitan perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pihak Mahathir dalam pertemuan yang diadakan semalam.

“Saya dimaklumkan sendiri oleh kakitangan pejabat Tun Mahathir dalam mesyuarat yang diadakan hari ini (semalam).

“Kalau di pihak Tun sendiri pun bersetuju, jadi tiada kewajaran untuk kita membantah majlis ilmu seumpama itu,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidah berkata, perdebatan berbentuk wacana itu perlu digunakan sebaiknya oleh kedua-dua pihak untuk menjelaskan secara terperinci berhubung isu dibangkitkan nanti.

Beliau percaya, Mahathir akan menggunakan platform itu dengan sebaiknya bagi menerangkan segala kegagalan urus tadbir dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dengan adanya perdebatan ini, kita nak kebenaran terserlah,” katanya.

Pihaknya turut mengingatkan Mohamed Nazri supaya tidak menggunakan emosi dan menyerang peribadi Mahathir.

“Kita tak mahu serang menyerang peribadi ini, kita nak satu bentuk perdebatan yang memberi nilai tambah khususnya kepada rakyat,” katanya.

– SH

.