DBKL BERLAGAK JAGUH AGAMA, KATA MP PEMBANGKANG

Wakil-wakil rakyat pembangkang di ibu negara membidas langkah Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengharamkan pesta arak Better Beer Festival 2017.

Empat anggota parlimen DAP dan seorang PKR hari ini tampil dengan kenyataan bersama yang menyelar keras pihak berkuasa tempatan itu.

“Kami rasa kesal kerana kerajaan tempatan seperti DBKL cuba alih pandangan dengan berlagak jadi jaguh agama,” kata mereka.

“Tindakan DBKL ini memang tidak prihatin dan kelihatan tunduk dengan permainan parti politik serta tidak mempedulikan semangat muhibah pelbagai kaum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh wakil DAP Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Dr Tan Kee Kong (Wangsa Maju) dan Lim Lip Eng (Segambut).

Dr Tan Kee Kong (Wangsa Maju) daripada PKR juga menjadi salah seorang yang terlibat mengeluarkan kenyataan itu.

DBKL hari ini dilapor menolak permohonan penganjuran acara itu dan memberi amaran akan bertindak jika ia diteruskan.

Laporan itu tidak menyatakan sebab acara itu tidak diluluskan.

Bagaimanapun ia dibuat selepas bantahan PAS yang melihatnya sebagai punca masalah sosial, tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan tiada jaminan tidak melibatkan penganut agama itu.

Dalam kenyataan itu, lima wakil rakyat DAP itu berkata, sejak Better Beer Festival dianjurkan pada 2012, ia tidak mencetuskan sebarang masalah atau mengganggu mana-mana pihak.

Lagi pun, kata mereka, ia dianjurkan untuk pengunjung dan peniaga bukan Islam serta juga pelancong asing.

“Pembatalan acara ini juga akan menjejaskan industri pelancongan Malaysia.

“Ramai pelancong asing akan takut datang ke negara kerana kerajaan Malaysia dianggap sama dengan rejim yang tidak membenarkan kebebasan,” kata mereka.

Kelima-lima wakil rakyat itu juga berkata DBKL perlu sedar sedar bahawa mereka memberi perkhidmatan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama dan berperanan menggalakkan pelancongan di ibu negara.

Mereka mencadangkan menteri Wilayah Persekutuan mengarahkan DBKL menarik balik penolakan permohonannya, malah membantu menjaga keselamatan acara itu dengan memberi kerjasama dengan pihak penganjur.

“Kami juga memohon kerjasama menteri pelancongan untuk menyelesaikan isu ini dengan baik,” katanya.

MCA: Jangan tunduk desakan politik

Sementara itu, Ketua Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker pula menggesa DBKL supaya “konsisten dan telus” dalam keputusannya.

Katanya, badan itu tidak boleh menolak sewenang-wenangnya permohonan penganjur atau memberi amaran bertindak tanpa memberikan sebarang alasan.

“Sebab mesti diberikan dan notis serta masa yang cukup haru diberikan kepada orang awam jika terdapat perubahan peraturan atau dasar dan sebagainya,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Ti juga berkata DBKL tidak harus tunduk pada desakan politik.

Wanita AMANAH tolak promosi arak

Bagaimanapun, kenyataan lima anggota Dewan Rakyat itu tidak selari dengan pandangan rakan mereka dalam gabungan pembangkang.

Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Mariah Mahmud hari ini menulis panjang lebar di Facebook kenapa beliau menentang langkah mempromosikan arak.

Tidak seperti parti lamanya PAS, bekas pengamal perubatan itu bagaimanapun melihatnya daripada aspek kesihatan kerana ketagihan alkohol boleh menjejaskan kesihatan.

“Para doktor tahu bahawa ketagihan alkohol akan membawa kepada masalah sirosis hati dan sama bahaya dengan ketagihan dadah,” katanya.

– M’kini

.