DATUK DALANG KES TEMBAK MATI BILL KAYONG DITANGKAP DI KLIA

KUCHING  – Setelah hampir lima bulan diburu, polis akhirnya berjaya memberkas seorang lelaki berpangkat Datuk yang menjadi dalang utama kes tembak mati Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong pada Jun lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.45 malam tadi.

Menurutnya, suspek yang namanya disenarai sebagai individu dikehendaki oleh polis antarabangsa (Interpol) terlebih dahulu ditangkap di Putian, Wilayah Fujian, China oleh Kementerian Keselamatan Awam republik itu, semalam.

“Suspek kemudian diusir ke Malaysia melalui Wilayah Xiamen dengan diiringi satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk S. Dev Kumar.

“Suspek akan diiringi ke Miri, esok untuk menghadapi pendakwaan segera berhubung kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Dalam kejadian pada 22 Jun lalu, mangsa ditembak mati dipercayai menggunakan senapang patah di persimpangan lampu isyarat Lutong di Miri, kira-kira pukul 8.30 pagi.

Serentak dengan kejadian itu, polis telah menubuhkan pasukan penyiasat khas diketuai oleh Dev Kumar bagi mengesan suspek dan menyelesaikan siasatan kes yang menarik perhatian itu terutama penduduk negeri ini.

Dalam kes tersebut, polis me­num­pukan tiga aspek siasatan iaitu isu tanah hak adat bumiputera (NCR) di Bekelit, Bekenu dan kemungkinan pergolakan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disertainya serta isu peribadi.

Sepanjang siasatan dijalankan, beberapa individu sudah ditahan dan didakwa berhubung kes berkenaan, manakala suspek yang menjadi dalang utama dipercayai melarikan diri ke Australia sejurus selepas kejadian.

– UTUSAN ONLINE

.