DATUK BANDAR MIRI CABAR ADUN PUJUT LAPOR DAKWAAN RASUAH KEPADA SPRM

MAJLIS Bandaraya Miri (MBM) menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pujut daripada DAP, Dr Ting Tiong Choon yang keputusan menangguhkan mesyuarat bulanan MBM pagi semalam disebabkan majlis itu cuba melindungi sesuatu daripada orang ramai.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata mesyuarat pagi semalam ditangguhkan kerana Dr Ting dan pembantunya, Peter Hee, kedua-duanya merupakan pemerhati, tidak mematuhi kod etika berpakaian yang dikuatkuasakan pada Ogos 2017 dan segera diarah meninggalkan mesyuarat itu, bagaimanapun mereka enggan berbuat demikian.

“Mesyuarat bulanan MBM semalam ditangguhkan berikutan gangguan oleh Dr Ting dan pembantunya yang sengaja tidak mematuhi kod etika berpakaian seperti digariskan MBM,” katanya dalam kenyataan di Miri hari ini.

Yii menjelaskan beliau tidak pernah menghalang Dr Ting dan sekutu beliau daripada menghadiri mesyuarat bulanan dan kehadiran mereka sering diberi pengiktrafan sewajarnya.

“Berhubung tuduhan liar tanpa asas bahawa ada sesuatu yang ingin disembunyikan, kami sekali lagi mengingatkan Dr Ting yang beliau sepatutnya melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merupakan saluran tepat bagi apa jua perlakuan rasuah yang ada dalam fikirannya,” katanya.

Menjelaskan tentang kod etika berpakaian itu, Yii berkata ia mula dibangkitkan pada mesyuarat bulanan MBM pada 25 Ogos tahun ini apabila Dr Ting dan pembantunya menghadiri mesyuarat itu dengan memakai kemeja-T memaparkan logo DAP.

Beliau berkata semasa mesyuarat itu, persetujuan dicapai yang pakaian sesuai perlu dipatuhi, tambahan pula perbuatan memaparkan sebarang simbol dan logo parti dilarang sama sekali.

“Semasa mesyuarat MBM pada 25 September, Dr Ting dan pembantu beliau tidak hadir, dan peraturan bagi pakaian bersesuaian untuk menghadiri mesyuarat itu sekali lagi dibangkitkan dan kenyataan berkaitan perkara itu dikeluarkan serta disiarkan oleh semua akhbar pada keesokan harinya, 26 September,” jelas beliau.

Katanya dalam mesyuarat MBM pada 25 Oktober, Dr Ting dan pembantunya datang dengan memakai pakaian sama yang bercanggah dengan kod etika berpakaian digariskan MBM.

Bagaimanapun, Dr Ting mendakwa ia adalah pakaian kerjanya dan beliau memakainya setiap hari.

“Berdasarkan laporan akhbar berkaitan aktivitinya, beliau jarang dilihat memakai pakaian itu, melainkan jika beliau boleh membuktikan sebaliknya,” katanya, dan menambah, penangguhan mesyuarat itu mengakibatkan pembaziran dan kerugian kewangan kepada MBM.

– Bernama

.