DARI MANA JAMAL DAPAT WANG? Batal ke Dubai, tiap-tiap ketua cawangan dapat RM1,000

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos hari ini membatalkan janjinya untuk membawa kesemua ketua cawangannya bercuti ke Dubai.

Sebaliknya, janji percutian itu ditukarkan kepada pemberian wang tunai berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua cawangan tersebut.

“Lima bulan lepas saya dah berjanji kepada 115 ketua cawangan tetapi hanya 80 yang bersetuju untuk dibawa bercuti ke Dubai.

“Justeru itu saya batalkan tawaran percutian tersebut dan kos percutian kita kongsi bersama yang mana setiap seorang perwakilan akan mendapat RM1,000,” kata Jamal disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

Jamal berkata demikian dalam majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar kali ke 13 bagi tahun 2016 di Dewan Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor, hari ini.

Sementara itu, Jamal hari ini turut ‘mengumumkan’ pemberian RM300 kepada perwakilan dan tambahan RM200 ketua cawangan Umno yang berdiri tanda sokongan kepada beliau dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta parti itu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada beliau menyatakan perkara itu secara serius atau sekadar berseloroh.

“Saya minta semua perwakilan yang menyokong saya bangun dan berikan tepukan gemuruh,” kata Jamal diikuti dengan tindakan perwakilan.

Okey, RM100 untuk semua,” kata Jamal.

Begitu juga perkara sama dilakukan apabila beliau meminta perwakilan berdiri sebanyak dua kali lagi untuk menyatakan sokongan kepada Zahid dan Umno BN.

Ia bermakna setiap perwakilan mendapat RM300 setiap seorang dan Jamal berkata tambahan sebanyak RM200 lagi akan diberi kepada ketua-ketua cawangan yang berdiri dan memberikan tepukan.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dalam ucapannya berkata beliau tidak akan memberikan RM1000 kepada ketua bahagiannya, sebaliknya RM2000 setiap seorang.

Noh bagaimanapun berkata Jamal boleh berbuat demikian kerana beliau hanya ketua bahagian.

“Kalau saya jadi Jamal saya bagi RM2,000 tetapi saya tidak boleh lakukan sebab saya wakil rakyat yang mana perlu menjaga 42,000 orang dan itulah yang membezakan ketua bahagaian dengan anggota parlimen,” kata Noh yang juga anggota parlimen Tanjong Karang. – M’kini