DAP TUNJUK BELANG SEBENAR

KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sikap DAP yang mempertikai arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) supaya mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) menunjukkan belang sebenar dan sikap diktator parti itu .

“Undang-undang ini bukan Umno tetapkan tetapi RoS. Buktinya suatu ketika dahulu Umno pernah diharamkan, tetapi kita akur dengan menubuhkan Umno baharu seperti yang diarahkan RoS.

“Siapa DAP yang boleh mengatasi undang-undang? Inilah sikap sebenar DAP, belum lagi memerintah sudah berani langgar undang-undang negara. Jika diberi peluang memerintah hancur negara ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) 2017 di sini, hari ini.

Jumaat lepas, Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dilaporkan berkata, jabatan itu akan mengeluarkan arahan meminta DAP mengadakan pemilihan semula CEC kerana RoS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu hasil pemilihan semula pada 29 September 2013, tidak sah dari segi undang-undang.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata keengganan DAP mengadakan pemilihan semula hanya akan menyebabkan mereka tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya kelak.

“DAP tidak akan mengalami sebarang kerugian apa-apa sekiranya mereka mematuhi peraturan RoS kerana ia bukan ditentukan oleh Umno atau BN,” katanya.

– SH

.