DAP TUNGGU KEBENARAN ROS ADAKAN CEC

KUALA LUMPUR – DAP sedang menunggu notis rasmi daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) nya, yang dijangka berlangsung pada 10 September ini.

Naib Pengerusi Kebangsaannya, Teresa Kok berkata, beliau dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke telah bertemu Ketua Pengarah Ros, Datuk Mohammad Razin Abdullah kelmarin bagi membincangkan perkara itu.

“Kami mengadakan perbincangan ini kerana kami mendapati pegawai Ros tidak mengetahui sistem pemilihan pemimpin DAP ini.

“(Dalam mesyuarat ini), kami beri cadangan dan mereka juga beri juga beri cadangan. Pihak Ros telah bersetuju untuk melantik sebuah badan bebas bagi memantau proses pemilihan nanti,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat DAP, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, pihaknya sedang menanti notis rasmi tarikh pemilihan CEC daripada Ros, yang mana mereka berjanji untuk menghantar notis itu selewat-lewatnya semalam.

Sekiranya notis itu tidak dihantar, Teresa berkata, DAP mungkin terpaksa menunda pemilihan CEC ke satu tarikh baru kelak.

“Kami harap pihak Ros memberikan kerjasama supaya kami boleh lakukan pemilihan pada tarikh itu. Sekiranya mereka tidak hantar surat (notis rasmi), mungkin kami kena tunda pemilihan CEC lagi,” ujarnya.

–¬†http://www.sinarharian.com.my

.