DAP TANDING AYER HITAM LAWAN TIMBALAN PRESIDEN MCA

DAP mengesahkan akan bertanding di Ayer Hitam, Johor menentang penyandang kerusi parlimen berkenaan iaitu Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata parti itu telah membatalkan rancangan asal untuk meletakkan calon Parti Amanah Negara (AMANAH) yang akan menggunakan logo DAP, selepas DAP gagal mendapatkan kerusi tambahan dalam rundingan antara parti kopinen Pakatan Harapan (HARAPAN).

“(Kita mahu meletakkan calon AMANAH sebelum ini) sebab AMANAH cuma ada dua kerusi parlimen (di Johor).

“(Tapi) AMANAH dapat 12 kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang boleh dianggap agak banyak. Sebab DAP tak dapat tambahan kerusi DUN, jadi kita minta semula Ayer Hitam.

“Hari ini kita boleh cakap secara rasmi bahawa calon DAP akan bertandung di Ayer Hitam,” kata Loke dalam sidang media di Ayer Hitam hari ini.

DAP sebelum ini berjaya mendapatkan kerusi yang disandang MCA selepas bertukar dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang akan bertanding di Tanjung Piai. Pada 2013, kerusi itu ditandingi.

DAP merupakan parti pembangkang paling kuat di Johor ketika ini dengan memegang empat parlimen dan 13 kerusi DUN.

Loke menambah, DAP juga percaya mereka layak bertanding 15 kerusi DUN berbanding 14 kerusi dalam PRU akan datang.

Sementara itu, Loke mencabar Wee untuk bertanding melawan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Bagan sekiranya dia bersungguh-sungguh mahu bertarung atas isu projek terowong dasar laut.

“Hari ini saya cabar Wee, jika dia betul-betul fikir kerajaan Pulau Pinang, terutama Lim buat salah, atau salah guna kuasa dalam projek terowong dasar laut, Wee sebagai timbalan presiden MCA sepatutnya bertanding melawan Lim di Bagan.

“Jika dia yakin Ayer Hitam adalah kerusi selamat, Wee sepatutnya boleh menyerahkan parlimen ini dan biarkan mana-mana calon MCA lain bertanding di sini kerana mereka fikir mereka boleh menang,” kata anggota parlimen Seremban itu.

– M’kini

.