Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mendakwa, ini berikutan parti yang diwakili majoriti pemimpin Cina itu, tidak pernah membantu menyelesaikan sebarang masalah menyelubungi komuniti berkenaan walaupun mendapat sokongan daripada mereka dalam pilihan raya umum lalu.

“Apa sahaja masalah melibatkan masyarakat Cina, DAP akan mengalih isu dengan mendakwa mereka tidak mewakili komuniti Cina sebaliknya mewakili rakyat berbilang kaum dan isu itu tiada kaitan dengannya.

“Parti itu tidak pernah ikhlas terhadap masyarakat Cina malah DAP sebenarnya hanya menggunakan retorik untuk menarik sokongan kaum tersebut. Ini sa­ngat berbeza dengan MCA yang kekal konsisten dan ikhlas dalam memperjuangkan keperluan ma­sya­rakat Cina di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-63, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, kebanyakan isu yang dibangkitkan masyarakat Cina antaranya melibatkan isu sekolah Cina, ekonomi dan penggunaan tanah diselesaikan oleh MCA dengan kerjasama kerajaan.

“Sebab itu, kami memerlukan sokongan masyarakat Cina agar diberi mandat dalam kerajaan untuk memperjuangkan nasib mereka,” ujarnya.

Tegas beliau, DAP masih ‘berhutang maaf’ dengan masyarakat Cina kerana telah mengkhianati kepercayaan mereka terhadap parti itu.

“DAP dulu mahu rakyat so­kong Pas pada PRU sebelum itu tetapi sekarang mereka pula ber­sama-sama PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kutuk Pas. Ternyata mereka hi­pok­rit. Justeru jangan terpedaya dengan drama politik mereka,” katanya.

Terdahulu, Tiong Lai dalam ucapannya mengulangi pendirian akan terus mempertahankan sistem pendidikan pelbagai aliran di negara ini khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Menurut beliau, kepelbagaian dalam sistem pendidikan negara merupakan asas kepada kejayaan Malaysia dalam melahirkan gene­rasi berkeyakinan tinggi selain le­bih berdaya saing di persada dunia.

“Dalam konteks ini, MCA berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan penubuhan SJKC baharu dan memberi kebenaran untuk memindah sekolah yang mempunyai kurang murid ke kawasan berkepadatan penduduk Cina ter­utamanya di bandar,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama, Tiong Lai mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang memberi maklum balas positif terhadap permohonan MCA untuk menubuhkan lebih banyak SJKC baharu.

Katanya, maklumat lanjut berkenaan penubuhan SJKC itu akan diumumkan selepas parti itu berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan yang terlibat.

UTUSAN

.