DAP SEDAR GAGAL DAPAT UNDI MELAYU

KUALA LUMPUR – Hasrat Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk terus menjalinkan kerjasama dengan Pas tidak lain kerana beliau menyedari pakatan pembangkang memerlukan Pas bagi mendapat undi orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walau pun pelawaan Kit Siang itu meletakkan DAP seolah-olah cukup terbuka sehingga bersedia menjilat ludah sendiri, namun Pas tetap tidak boleh menerimanya.

Katanya, ketegasan itu perlu kerana Pas tidak mahu terperangkap dalam helah Kit Siang seperti mana sebelum ini yang menyaksikan DAP sanggup berbuat apa sahaja termasuk bekerjasama dengan Pas hanya untuk mendapat undi orang Melayu.

“Lebih mengecewakan, selepas kemenangan dicapai, DAP menguar-uarkan kepada umum kononnya semua itu atas usaha mereka sendiri, sedangkan Pas yang banyak membantu.

“Sudah dua kali DAP memperkotak-katikkan Pas. Pertama apabila DAP keluar daripada gabungan pembangkang selepas PRU-12 dan kedua apabila bersekutu dengan PAN. Jadi kami tidak akan termakan lagi ‘cerita’ DAP kerana tidak mustahil mereka akan bertindak lebih teruk lagi kali ini,” katanya ketika dihubu­ngi di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, Kit Siang menyatakan sanggup bekerjasama sekali lagi dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika Presiden Pas itu bersedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia.

Sementara itu, Tuan Ibrahim sekali lagi mengingatkan semua pihak termasuk DAP yang dasar parti itu adalah untuk menegakkan Islam selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Namun DAP mengutamakan untuk menang pilihan raya. Bagi Pas pula, pilihan raya memang penting tetapi tidak boleh lari daripada prinsip perjuangan parti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, DAP telah berkali-kali melanggar syarat tahaluf siyasi ketika Pas bersama dengan pembangkang dahulu.

“Selepas pelbagai tindakan provokasi dan ancaman yang dilakukan DAP sebelum ini termasuk serangan atas prinsip serta dasar Pas mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan, kami sebenarnya sudah tidak boleh menerima mereka.

“Tetapi sebab kami parti yang mengamalkan prinsip terbuka, maka Pas dan DAP perlu menan­da­tangani kertas perjanjian bersama jika ingin bekerjasama,” katanya.

– UTUSAN

.