DAP SEBENARNYA ‘KEPALA HARIMAU, EKORNYA ULAR’?

TAK ada angin, tiada ribut tiba-tiba DAP menuding jari pula kepada MCA dengan mengatakan kononnya parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tahu RUU 355 akan dibentangkan di Parlimen Khamis lalu.
Setelah teruk dibelasah oleh wakil rakyat Melayu kerana membantah undang-undang Islam yang tujuannya untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dan hakikatnya tiada kaitan pun dengan DAP dan bukan Islam, DAP mula meracau.

DAP barangkali sudah dapat apa yang dihajati setelah ‘kerja kerasnya’ menghentam RUU 355 untuk meraih laba politik Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) disokong oleh penyokong tegarnya. Dan mungkin juga daripada puak-puak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan pluralisme.
Namun, parti dikuasai anak beranak Dinasti Lim ini juga khuatir kerana RUU 355 juga telah bikin kacau-bilau dalam Pakatan Harapan diketuai DAP

DAP terus-terang menentang. PAN me­ngikut sahaja walaupun dalam PKR pula ada yang menyokong pindaan ini.

Dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula, na­khodanya, Tun Dr. Ma­hathir Mohamad membantah tetapi Pre­sidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sokongan walaupun bersyarat.

Semua ini meresahkan DAP, apatah lagi orang Melayu mula pandang cuak dan curiga terhadap penasihatnya, Lim Kit Siang dan DAP sendiri kerana secara terbuka menentang usaha menambah baik un­dang-undang Islam.

Kerana itu DAP terpaksa memilih MCA yang diterajui Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai ‘punching bag’.

Setelah urusan pembentangan RUU 355 berjaya diuruskan dengan baik oleh Pas, bagaimana pula ke­dudukan tiga anggota Exconya dalam kerajaan PKR Se­langor? Sedangkan Pakatan Harapan sendiri (DAP dan PAN) tidak setuju dengan apa dilakukan Pas.

Jika Pas masih kekal dalam kerajaan Selangor, ini bermakna Pakatan Harapan masih memberi talian hayat kepada Pas.

Sedangkan DAP kerap kali menguar-uarkan mereka memiliki kekuatan politik di Selangor sejak 2008. Mungkinkah beberapa minggu ini DAP harus tunjuk kuasa mereka terhadap kedudukan Pas di Selangor?

Jadi, siapakah sebenarnya kepala harimau, ekornya ular?

– UTUSAN