DAP SAINGAN KUAT BN PRU14

PASIR MAS – PRU14 boleh disifatkan sebagai perjuangan DAP menentang BN memandang parti cauvinis Cina itu dilihat lebih mendominasi Pakatan Harapan.

Ketua Penerangan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Fathul Bari Mat Jahya berkata, situasi tersebut jelas apabila DAP dilihat cukup berpengaruh menentukan hala tuju pakatan pembangkang itu.

“Saya juga melihat DAP tidak akan memberikan laluan mudah kepada Tun Dr Mahathir Mohamawd untuk menjadi Perdana Menteri.

“Apa yang berlaku di Perak sebelum ini membuktikan bahawa DAP telah mengawal pentadbiran walaupun Menteri Besar ketika itu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada pelajar dari Parlimen Pasir Mas sempena program Happy To School di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Hamid 2.

Majlis disempurnakan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Senator Datuk Hanafi Mamat.

Fathul Bari berkata, PRU14 nanti rakyat perlu terus memberikan mandat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus memimpin negara.

Katanya, keupayaan Najib memimpin negara terbukti berkesan menerusi pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang akan memacu rakyat ke arah lebih maju dan berdaya saing.

“Sebab itulah, rakyat perlu terus memberikan sokongan kepada BN dengan hasil kemakmuran yang telah dikecap sehingga hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fathul Bari berkata, lebih 72,000 peralatan sekolah disediakan pihaknya untuk diagihkan kepada penerima daripada 73 kawasan parlimen di seluruh negara.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah menjelajah ke sembilan kawasan parlimen di seluruh negara dan agihan ke semua lokasi itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Bantuan ini bagi membangkitkan semangat murid untuk memulakan sesi persekolahan pada tahun hadapan.

“Ini sumbangan kami membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

– Sinar Harian

.