DAP risau kerusi Kedah terancam

KUALA KEDAH – DAP Kedah tidak menolak kemungkinan cadangan persempadanan kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyebabkan dua Dun Kedah yang dimiliki parti itu dalam bahaya.

Pengerusinya, Tan Kok Yew berkata, ia berikutan sejumlah besar pengundi Cina dalam Dun Derga dipindahkan ke Dun lain, sementara di Dun Kota Darul Aman pula bakal berlaku penambahan besar pengundi.

Beliau berkata, Dun Derga yang mempunyai 16 daerah mengundi pada sebelum ini akan berkurangan apabila dua daripadanya iaitu kawasan Kanchut yang mempunyai seramai 773 pengundi dan Tambang Badak yang ada 599 pengundi dipindahkan ke kawasan Dun Kota Darulaman.

“Apabila persempadanan kawasan ini dibuat, Dun Derga akan semakin kecil apabila daripada 26,652 pengundi yang berdaftar, hanya tinggal 25,280 pengundi di Derga. Kemungkinan besar pengundi Melayu bertambah dan pengundi Cina berkurangan,” katanya, semalam.

Kok Yew berkata, sekiranya dibuat perkiraan berdasarkan corak pengundian pada PRU13, kedudukan Dun Derga adalah bahaya dan terancam untuk DAP Kedah.

Menurutnya, Dun Kota Darul Aman yang disandang DAP juga tidak terkecuali dalam persempadanan kawasan itu apabila berlaku pertambahan sebanyak enam daerah mengundi baharu yang dipindahkan dari empat Dun.

“Di Kota Darul Aman kita ada seramai 15,034 pengundi dengan pecahan 16 daerah mengundi.  Tapi selepas persempadanan kawasan dibuat, dua daerah mengundi dari Derga, satu dari Bakar Bata, dua dari Alor Mengkudu dan satu dari Kubang Rotan dimasukkan sebagai daerah mengundi baharu di Kota Darul Aman.

“Ia menjadikan pertambahan sebanyak 6,446 pengundi dipindahkan ke kawasan Dun Kota Darul Aman. Secara kasarnya lebih 65 peratus pengundi Cina dipindahkan,” katanya.

Beliau juga mendakwa persempadanan kawasan hanya melibatkan kawasan pembangkang.

“Daripada 15 parlimen di Kedah, hanya Parlimen Pokok Sena berlaku persempadanan kawasan. Ini juga merupakan satu cabaran buat pembangkang sebab kerusi itu dimenangi oleh Pas. Begitu juga dengan Dun Kubang Rotan apabila ada daerah mengundi yang dipindahkan dalam Parlimen Alor Setar.

“Seramai 8,145 pengundi di Parlimen Merbok juga turut dicadangkan pindah ke Dun Sidam. Jika ini berlaku, pengundi di Parlimen Sungai Petani akan mencatat jumlah paling ramai di Kedah melebihi 100,000 pengundi,” katanya.

Kok Yew berkata, persempadanan kawasan itu juga kemungkinan boleh menyebabkan pembangkang hilang tujuh kerusi Dun Kedah pada PRU14.

“Antara Dun yang terancam ialah Derga (DAP), Bukit Selambau (PKR), Kubang Rotan (Pas), Anak Bukit (Pas), Alor Mengkudu (Pas), Merbau Pulas (Pas) dan Pengkalan Kundor (Amanah). Kita nampak tujuh kerusi dalam bahaya sebab perubahan banyak berlaku dalam kawasan pembangkang.

“Kita tak mahu komen impak parti baharu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Kalau lihat kepada corak pengundian pada PRU13, persempadanan kawasan ini akan gugat pembangkang,” katanya. – Sinar Harian

.