‘DAP PARTI CINA? KITA BOLEH KETAWA SAMBIL TEPUK DAHI’

Rupanya menyuruh DAP mengadakan pemilihan semula berkali-kali ini hanyalah untuk memperlihatkan betapa parti itu hanya akan mengangkat orang Cina sebagai pemimpin utama.

Selesai pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) semalam, ulasan paling awal dikeluarkan anasir propaganda kerajaan ialah persoalkan kenapa wajah Melayu yang masuk DAP tidak dilantik.

Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa, sepantas kilat menyerang keputusan pemilihan itu sebagai bukti DAP bukan parti pelbagai kaum. DAP parti Cina – walaupun dia langsung tidak berani menyebut demikian.

Annuar hanya sebut DAP “dikuasai kaum tertentu”. Macam parti dia dikuasai kaum tertentu juga, tanpa menyebut Melayu. Kerana takut MCA dan Gerakan berkecil hati.

“Lim Kit Siang boleh kelentong DAP parti pelbagai kaum. Sekarang apa jadi. Kalau DAP pelbagai kaum kenapa tidak pilih Melayu?” kata dia.

Pertamanya, kita harus ingat bahawa proses semalam ialah pemilihan semula yang diadakan untuk kali kedua setelah DAP akur kepada arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sebab itu Karpal pun ada

Pemilihan semula kali pertama diadakan pada 2013 apabila keputusan tahun sebelumnya disangkal ekoran kesilapan teknikal.

Setelah pemilihan semula 2013, ROS mendiamkan diri sehingga empat tahun lamanya sebelum dicucuk Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad yang membawa kepada pemilihan semula kali kedua, semalam.

Akur dengan arahan ROS, senarai calon CEC yang perlu dipilih oleh perwakilan semalam ialah senarai yang sama digunakan pada 2012.

Senarai itu turut memuatkan nama mendiang Karpal Singh – yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya tiga tahun lalu – selain beberapa individu yang meninggalkan parti, kalau pun tidak meninggal dunia.

Maka apabila beberapa pihak mempersoalkan kenapa nama-nama seperti Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; pakar undang-undang perlembagaan, Dr Aziz Bari; bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim; malah Mejar Zaidi Ahmad – yang keluar PAS masuk DAP – tidak masuk CEC, kita hanya boleh ketawa sambil menepuk dahi.

Dalam tidak sedar, mereka memberitahu satu dunia bahawa DAP dianggotai nama-nama besar ini. Itu belum dikira lambakan anak muda Melayu yang berbondong-bondong menyertai DAP pascapilihan raya kecil Teluk Intan.

Barangkali mereka lupa fenomena itu.

Daripada cuma Dyana Sofya Mohd Daud, DAP menyaksikan kemasukan wajah-wajah baru seperti Young Syefura Othman, Edry Faizal Yusof, Jamaliah Jamaluddin, Syerleena Rashid yang masing-masing bekerja keras sebagai ahli majlis kerajaan tempatan.

Tidak ketinggalan Sheikh Omar Ali di Johor, malah bekas peguam PAS, Zulhazmi Shariff; Abdul Aziz Isa di Sarawak, Nurul Shifa di Perlis dan ratusan lagi alumni Sekolah Demokrasi yang sedang bekerja di peringkat akar rumput tanpa menonjolkan diri.

Fenomena Melayu masuk DAP inilah yang cuba dipadamkan dengan menyuruh DAP mengadakan pemilihan semula berkali-kali dengan senarai dari lima tahun lampau.

Cara ramaikan Melayu

United Malays National Organisation akan terus cuba memadam hakikat bahawa DAP mempunyai dua anggota parlimen Melayu di Dewan Rakyat yang mewakili Raub dan Bukit Bendera.

Kalau Mahdzir Ibrahim tidak tewas di Tanjung Piai pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, sudah ada tiga.

Umno akan cuba melupakan rakyat bahawa Tengku Zulpuri Shah Raja Puji itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Mentakab, merangkap Ketua Pembangkang Pahang.

Itu belum dicampur nama-nama tokoh lampau seperti Fadzlan Yahya, Ahmad Nor, Ibrahim Singgeh, Ahmad Ton dan yang lain-lain.

Senator Dr Ariffin Omar yang terkeluar daripada senarai CEC semalam juga tokoh besar dalam lapangan akademia Melayu. Itu juga DAP, tapi Umno tak mahu anda tahu. Ariffin ialah naib pengerusi DAP kebangsaan sejak 2012.

Naratif “DAP parti Cina” ini adalah naratif lima tahun lalu. Drama panjang ini cuba diulang tayang menghampiri pilihan raya kerana Umno menyangka rakyat Malaysia tidak pandai menggunakan Google.

Maka cerita yang sama diulang-ulang, tanpa menyertakan maklumat tambahan.

Penyudahnya rakyat dibodohkan tanpa henti. Rakyat yang bodoh memang disukai pemerintah supaya mereka boleh dicucuk hidungnya dan diheret ke sana ke mari.

Disuruh baca tulisan Dr Kamarul Zaman Yusoff misalnya – yang kini menulis di Harakah, lidah parti PAS yang dulu bersungguh-sungguh mempertahankan DAP sebagai parti politik berbilang kaum.

Rakyat perlu diberitahu fakta. Ini pemilihan semula, dengan senarai calon 2012 yang masih mengekalkan nama mendiang Karpal Singh.

DAP itu parti majoriti Cina kerana Melayu seperti anda tidak mahu mendekat dek termakan momokan Umno yang kini disokong PAS.

Mahu lebih ramai Melayu dalam CEC? Nah, isi borang DAP. Selesai masalah.

– M’kini

.