DAP MELAWAN, TUNTUT TINDAKAN KE ATAS KP ROS

Selepas tidak berpuas hati apabila sekali lagi diarah untuk mengadakan semula pemilihan jawatankuasa eksekutif pusatnya atau CEC, DAP Selangor hari tampil membuat aduan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Putrajaya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku dari DAP, Lau Weng San, berkata aduan rasmi itu dibuat bagi meminta JPA mengambil menyiasat dan bertindak terhadap Ketua Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Mohammad Razin Abdullah.

Menurut Lau, tindakan tatatertib itu perlu diambil kerana Mohammad Razin didakwa telah gagal mematuhi Piagam Pelanggan ROS dalam isu pemilihan partinya itu.

“Piagam pelanggan yang dicetak daripada laman web rasmi ROS telah dimaktubkan bahawa tempoh diperlukan untuk menyiasat dan membuat keputusan terhadap aduan pertubuhan (tidak termasuk pendakwaan) adalah maksimum 179 hari.

“Tetapi, dalam kes melibatkan pemilihan parti DAP ini pihak ROS mengambil masa lebih empat tahun atau 1,338 hari masih belum memaklumkan secara rasmi kepada DAP tentang keputusan dan hasil siasatan ROS yang terkini,” kata Lau yang juga Penolong Bendahari DAP Selangor kepada pemberita.

Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook ROS semalam berkata, sepanjang empat tahun sejak pemilihan semula CEC pada 29 September 2013, ROS tidak pernah sama sekali memberi notis bertulis kepada DAP berkenaan syarat atau arahan yang dilanggar.

Bukan parti kaya

Lau hari ini berkata makluman ROS kepada mereka pada 11 November 2013 tidak memberikan sebarang alasan.

“Dan ia sebenarnya telah dicabar di mahkamah pun, cuma apabila RoS berjanji untuk menarik balik surat itu maka barulah kes itu tidak diteruskan.

“Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa pihak ROS mengakui bahawa surat itu masih ada kelemahan dan ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan,”tegas Lau.

Sementara itu, Lau juga berkata pemilihan semula jika dijalankan sudah pasti akan menelan belanja besar.

“Bukannya murah nak buat pemilihan semula, kita ada 2,000 lebih perwakilan dari seluruh negara. Satu hari buang undi kita kena sediakan makan dan minum, kita bukan parti yang kaya.

“Kalau kita buat pemilihan semula, kita membelanjakan wang berpuluh ribu ringgit dengan bajet hotel kemudian RoS kata tak boleh dan kena buat sekali lagi.

“Macam itu setiap tahun kita kena buat pemilihan semulalah, tak habis-habislah cerita dia,” soal Lau.

Lau tiba di JPA Putrajaya sekitar jam 11.30 pagi bersama ADUN Kinrara, Ng Sze Han (gambar) yang juga bendari DAP Selangor bagi mengemukakan aduan tersebut.

Aduan tersebut diterima oleh Ketua Unit Pengarah Komunikasi Koprat JPA, Jaafar Jantan.

Bagaimanapun, Jaafar enggan mengulas lanjut berhubung aduan terbabit.

“Kita terima memo ini,” kata Jaafar ringkas.

Pada 7 Julai lalu, ROS mengarahkan DAP untuk mengadakan pemilihan CEC baru, dengan mendakwa pemilihan semula 2013 sebagai tidak sah.
DAP pada 2013 secara sukarela mengadakan pemilihan semula selepas senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi dikatakan mempengaruhi pemilihan bertarikh 15 Disember 2012.

Hasil pemilihan semula kemudiannya disampaikan kepada ROS pada 8 November 2013, selaras dengan peruntukan perlembagaan parti itu dan Akta Pertubuhan 1966.

Bagaimanapun, ROS tidak mengiktirafnya dan DAP membawa kemelut mereka ke mahkamah. Tuntutan itu bagaimanapun digugurkan.

– M’kini

.