DAP ‘LULUS UJIAN’ SEBELUM PRU

DAP akhirnya selamat mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) seperti diarahkan Jabatan pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada Ahad lalu.

Parti pembangkang itu boleh dikira telah ‘lulus ujian’ sebelum menghadapi PRU14 yang akan diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Analisis yang dibuat oleh Oriental Daily menggambarkan, DAP sebenarnya menghadapi masalah dalaman yang teruk pada 2012 dan 2013.

Keadaan itu terus berlarutan apabila seorang ahli parlimen dan tiga Adun Melaka mengumumkan untuk keluar parti, serta menjadi ahli bebas.

Bagi DAP, pembubaran Pakatan Rakyat dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang terbabit dalam kes pembelian banglo di Pulau Pinang sedikit sebanyak menjejaskan moral dan semangat mereka.

Pada masa sama, penubuhan Pakatan Harapan dengan menarik sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hasil usaha pemimpin veteran mereka, Lim Kit Siang juga dikatakan kurang dipersetujui oleh ahli peringkat umbi, lebih-lebih lagi ahli lama.

Satu lagi ujian yang perlu dihadapi DAP ialah musibah banjir yang melanda Pulau Pinang, seminggu sebelum pemilihan semula CEC berkenaan.

BN dan beberapa kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) telah menuduh Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP menjadi punca berlakunya banjir paling teruk dalam tempoh 30 tahun di negeri itu.

“Bagaimanapun, hasil keputusan pemilihan itu membuktikan semua perwakilan telah memberikan sokongan padu kepada barisan kepimpinan parti, sekali gus menghilangkan segala krisis dalaman yang mungkin tercetus,” tulis akhbar ini.

Akhbar ini percaya Kit Siang dan Guan Eng yang memperoleh antara undian tertinggi dalam pemilihan itu membuktikan kedudukan mereka masih kukuh dalam parti.

“DAP telah berjaya menyelesaikan segala masalah mereka. Kini, mereka telah membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk menghadapi PRU14.

“Sama ada keputusan pemilihan ini dapat diterima oleh ROS atau tidak, ia sudah di luar batasan untuk diselesaikan DAP,” kata akhbar ini lagi.

– Sinar Harian

.