DAP: KERAJAAN BN BOLEH TUMBANG SERTA-MERTA JIKA…

Jika 45 anggota Parlimen BN dari bukan Umno menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan akan tumbang dengan serta-merta, kata Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berkata, 45 ahli Parlimen BN bukan Umno perlu berbuat demikian memandangkan tentangan terhadap usaha Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) disokong oleh Umno.

Parti-parti komponen BN perlu sedar sekarang bahawa semangat Umno dalam memudahkan Rang Undang-undang (RUU) persendirian oleh Abdul Hadi adalah percubaan untuk memansuhkan model konsensus BN, jelas Lim.

Walaupun 14 ahli Parlimen dari PAS membuat keputusan untuk menyokong Najib, ujar ahli Parlimen Gelang Patah itu, sokongan mereka bersama 86 ahli Parlimen Umno tidak akan cukup untuk membentuk kerajaan baru.

“Dengan tidak mendapat sokongan 25 ahli Parlimen BN Sarawak dan 20 ahli Parlimen BN yang lain, krisis politik dan Perlembagaan bakal tercetus di Malaysia.
“Penyelesaiannya adalah pembentukan kerajaan baru dan (melantik) perdana menteri baru yang menghormati prinsip konsensus serta menolak prinsip hegemoni Umno.

“Atau pilihan raya umum ke-14 diadakan lebih awal untuk menyelesaikan krisis Perlembagaan,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

– M’kini

.