DAP JADI TPM: MELAYU TETAP KENA BIMBANG

SHAH ALAM – Masyarakat Melayu di negara ini perlu berasa bimbang sekiranya hasrat DAP untuk meletakkan wakil mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri tercapai.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, rekod lalu membuktikan bahawa parti itu, bukanlah sebuah parti yang boleh ‘ditumpang untuk berteduh’ oleh semua rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu.

“Ini bukan soal perkauman atau untuk menakut-nakutkan sesiapa, tetapi jika wakil DAP jadi Timbalan Pedana Menteri, saya bimbang akan memberi kesan kepada masa depan orang Melayu,” katanya dipetik dalam blog Umno Bahagian Cheras.

Dakwa Syed Ali, teras perjuangan DAP hanya mengutamakan kepentingan satu kaum sahaja dan selama ini parti itu membuktikan mereka tidak pernah berasa senang dengan kedudukan orang Melayu.

Syed Ali berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengesahkan DAP hanya meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan berjaya menguasai Putrajaya.

Pengerusi Bersatu itu dipetik sebuah portal berita sebagai berkata, DAP mahukan jawatan tersebut manakala jawatan Perdana Menteri kekal kepada orang Melayu.

Dalam pada itu, Syed Ali memperingatkan orang Melayu supaya teliti dalam hal ini.

“Sekarang DAP tuntut kerusi TPM, jadi orang Melayu terutama yang pro-pembangkang perlu mengambil  peringatan dan berwaspada.

“Jangan nasi sudah menjadi bubur, baru nak menyesal,” ujarnya.

– Sinar Harian

.