DAP HARAP ZAID TAK JADI PRIMADONA

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, berharap bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim dapat bekerja secara berpasukan dengan parti barunya itu.

Berucap di majlis pengumuman penyertaan Zaid ke dalam DAP hari ini, Lim berkata, beliau sudah mengenali bekas ketua Umno Kota Bharu itu sudah lama.

Kata Lim Zaid adalah seorang tokoh yang berfikiran baik dan benar untuk negara.

“Tetapi jika dia mempunyai kecacatan, ia adalah keperluan untuknya belajar menjadi team player (watak dalam pasukan) dan bukan menjadi primadona,” katanya secara berseloroh dan disambut ketawa oleh orang yang hadir.

Pengumuman berkenaan dibuat di rumah Zaid di Petaling Jaya. Turut hadir beberapa pemimpin utama pembangkang, termasuk Pengerusi Parti Bersatu Bumiputera Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lim yang juga anggota parlimen Gelang Patah itu turut menyatakan keyakinannya bahawa ada yang boleh dipelajari daripada Zaid.

Zaid seorang peguam terkenal sebelum menyertai politik. Beliau pernah menjadi anggota parlimen Kota Bharu dan dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau dipecat daripada Umno pada 2008.

Berusia 65 tahun, Zaid pernah menyertai PKR dan menjadi calon parti berkenaan dalam pilihan raya kecil. Beliau bagaimanapun meninggalkan PKR dan selepas itu mengetuai Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

DAP adalah parti ketiga disertai Zaid secara rasmi.

Kata Lim, Zaid menjadi aset yang besar kepada usaha pembangkang “menyelamatkan” negara ini dan “menjadikan Malaysia hebat semula”.

Beliau menyatakan demikian kerana menyedari ramai mempersoalkan berapa lama Zaid akan kekal bersama DAP.

Sementara itu Dr Mahathir berkata, beliau berharap Zaid akan kekal dalam DAP untuk tempoh masa yang lama.

“Saya fikir dia (perlu) duduk dalam DAP lama-lamalah sikit.

“Dalam negara kita banyak keturunan katak. Sifat katak harus kita ketepikan dalam pembangkang,” katanya merujuk kepada sikap sesetengah ahli politik yang bertukar-tukar parti.

Zaid pula berkata, beliau berfikiran positif hubungannya dengan DAP akan berjaya kerana kedua-dua pihak mempunyai banyak persamaan.
Beliau juga mendakwa masih mempunyai hubungan baik dengan PKR dan turut menjemput setiausaha agung parti itu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menghadiri sidang media hari ini.

“Bagaimanapun beliau tidak dapat hadir kerana ada kes mahkamah,” katanya.

– M’kini

.