DAP DAKWA MCA DIPERALAT BN

MCA didakwa rela diperalatkan BN untuk membenarkan Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 disenaraikan dalam aturan mesyuarat Sidang Parlimen yang bermula Isnin lalu.

“Biarpun MCA kerap kali menyatakan RUU Persendirian yang dibawa oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu ke dalam parlimen adalah keputusan Umno, tetapi MCA seperti dengan rela hati bersekongkol dengan Umno.

“Memang tidak dinafikan MCA tetap ‘bersubahat’ bersama parti-parti komponen lain dalam BN sehingga membolehkan Pindaan RUU Akta 355 ini dibawa ke dalam Sidang Parlimen,” kata Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai seperti yang dilaporkan dalam Oriental Daily.

Dalam pada itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mengingatkan agar jangan terlalu leka walaupun RUU itu telah dianjak ke bawah dalam kertas aturan urusan mesyuarat parlimen.

“Biarpun tidak sempat dibawa dalam Sidang Parlimen kali ini, ia tetap boleh dibawa pada sidang akan datang, iaitu pada Mac tahun depan. Selagi BN masih meneruskan pemerintahan, selagi itulah RUU ini tetap berpeluang dibawa dan diluluskan dalam parlimen,” katanya.

Beliau turut menyoal tindakan Umno membenarkan RUU ini dibawa ke parlimen adalah bertujuan mahu mempermainkan Pas ataupun parti-parti komponen BN yang lain seperti MCA dan Gerakan?

SINAR HARIAN

.