DAP CHERAS AKAN LAPOR SPRM ISU PENJUALAN TANAH OLEH KU NAN

SELEPAS dicabar, akhirnya Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) terhadap Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung penjualan 45 bahagian tanah kerajaan di Kuala Lumpur.

Melalui laporan The Edge, Kok Wai berkata bahagian tanah kerajaan itu telah dijual tanpa tender terbuka sejak Tengku Adnan memegang jawatan menteri itu.

Semalam, Tengku Adnan telah mencabar Kok Wai membuat laporan terhadap SPRM jika beliau fikir penjualan tanah itu atas keuntungan peribadi mahu pun raduah.

Tengku Adnan berkata, Kok Wai patut mengemukakan bukti kukuh supaya tindakan undang-undang boleh diambil.

Tambah Tengku Adnan, Kok Wai patut menghargai usaha kerajaan membantu penduduk miskin bandar memiliki rumah.

Menurut laporan Bernama semalam, menteri itu berkata daripada 43 bidang tanah yang dijual itu, 28 daripadanya untuk pembinaan Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) dan selebihnya diperuntukkan untuk pembangunan unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Program Rumah 1 Malaysia (PR1MA).

“Kawasan dijual untuk pembangunan ini melibatkan rizab pusat penjaja yang tak layak, penempatan setinggan, kawasan perumahan awam, kawasan ruang terpelihara, dan kuarters untuk staff,” Tengku Adnan dipetik sebagai berkata oleh The Edge.

Justeru Kok Wai membalas kenyataan itu dengan berkata Tengku Adnan tidak menjawab kenyataannya yang penjualan tanah itu tidak dilakukan dengan tender terbuka.

Tambahnya, Tengku Adnan menggunakan “perumahan untuk penduduk miskin bandar” sebagai alasan penjualan tanah utama milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya pasti akan membuat laporan kepada SPRM,” kata Kok Wai seperti dipetik oleh Malaysiakini semalam.

Portal itu juga turut melaporkan Kok Wai akan mengirim surat kepada Ketua Audit Negara Madinah Mohamad untuk mendesak jabatan itu menyiasat dakwaan penjualan tanah kepada pemaju swasta bagi membina rumah mampu milik oleh kementerian dikepalai Tengku Adnan itu.

Katanya, dalam laporan Ketua Audit Negara 2016, 13 daripada 66 plot tanah kerajaan dijual untuk Rumawip itu sedang disiasat.

Rumawip diwujudkan untuk membuat hala tuju dan menyediakan tapak asas bagi pihak berkuasa tempatan dan pemaju untuk merekabentuk dan membangunkan perumahan mampu milik di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Hanya pembeli rumah pertama dan mereka yang mempunyai sumber pendapatan rendah atau sederhana sahaja layan untuk menyertai program itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.