DAP BIMBANG PAKATAN HARAPAN TAK DAPAT BEKERJASAMA

PETALING JAYA – DAP menyatakan kebimbangan apabila Pakatan Harapan dilihat masih tidak dapat bekerjasama menjelang PRU14 tidak lama lagi.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, Pakatan Harapan masih memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan perkara tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya.

“Jika diimbas kembali pada 2008 lalu, kita dilihat kurang bersedia namun masih berjaya memenangi lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga buat kali pertama,” katanya ketika majlis menandatangani buku komik kisah hidupnya di pusat membeli belah 1Utama, di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, beliau masih bersikap optimistik dalam memastikan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14.

Beliau berkata, isu utama yang masih membelenggu negara adalah masalah ekonomi yang tidak baik dan memberi kesan kepada rakyat.

“Dimana-mana sahaja di dunia ini apabila ekonomi tidak baik, parti pemerintah sebenarnya sedang dalam masalah.

“Kita bukan sahaja mahu melakukan tsunami seperti tahun 2008 lalu tapi ingin melakukan tsunami Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai hubungan baiknya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Guan Eng berkata, beliau meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan berbanding dengan isu peribadi.

Walaupun beliau dan ayahnya, Lim Kit Siang pernah dipenjarakan oleh Mahathir, namun katanya, isu negara harus menjadi keutamaan buat masa ini.

“Kami memang ada banyak isu dengannya namun kepentingan negara harus menjadi keutamaan dan perlu diperjuangkan,” katanya.

– SH

.