‘DAP BESAR KEPALA ENGGAN ADAKAN CEC’

KEPALA BATAS – Sikap besar kepala DAP, yang sehingga hari ini meningkari perintah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Pemilihan Pusat (CEC), disifatkan sebagai anti undang-undang.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, parti pembangkang itu dilihat cuba membelakangi undang-undang dan mengganggap segala yang dibuatnya betul sehingga tidak membenarkan pihak lain campur tangan.

“Ahli politik perlu sentiasa mematuhi undang-undang. Kalau DAP terus ingkar, ia menunjukkan contoh tidak baik kepada rakyat sehingga boleh menyebabkan undang-undang negara diabaikan orang ramai atas alasan pemimpin melanggarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas di sini, hari ini.

Baru-baru ini, RoS mengarahkan DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mempertikaikan arahan itu dan bertegas tidak mahu mengadakan pemilihan berkenaan dengan alasan parti telah berbuat demikian pada 29 September 2013.

Dalam pada itu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyelar kepimpinan DAP termasuk Guan Eng dan bapanya yang juga penasihat parti itu Lim Kit Siang kerana enggan mematuhi  arahan RoS.

“Apa istimewanya DAP sampai mereka boleh bertindak degil sampai tahap mengingkari undang-undang negara? Saya harap RoS dapat ambil tindakan segera terhadap parti itu,” katanya.

– Bernama

.