DAP ALAMI KRISIS KEPERCAYAAN, RAKYAT PERLU ANALISIS

LUNDU – Tindakan tiga Adun dan seorang ahli Parlimen DAP Melaka keluar daripada parti itu merupakan satu manifestasi masalah dalaman dan krisis kepercayaan yang sedang dihadapi parti pembangkang itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya dimaklumkan tiga Adun dan seorang ahli Parlimen dari Melaka itu telah keluar parti,” kata Timbalan Perdana Menteri.

Beliau percaya ini kerana kepimpinan DAP yang bersekongkol dengan tokoh yang pernah menghentam parti itu satu ketika dahulu, kini mendapat tentangan dari dalaman.

Oleh itu, menurutnya rakyat secara keseluruhannya perlu membuat analisis sendiri mengenai kebolehpercayaan mereka terhadap wakil-wakil rakyat daripada DAP susulan perkembangan terbaru itu.

“Kita tahu bahawa persekongkolan ini menerusi “perkahwinan mutaah politik’, atau ‘perkahwinan sementara politik’… rakyat harus faham mengenainya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pemimpin bersama Rela di Dewan Masyarakat Lundu, kira-kira 80km dari bandaraya Kuching, di sini, hari ini.

“Kita harap rakyat dapat menilai sendiri tentang apa yang sedang berlaku di kalangan mereka (DAP), dan bagaimana prestasi mereka sebagai wakil rakyat yang hanya pandai berkokok (tapi) tidak dapat berikan perkhidmatan yang berkesan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu yang turut dihadiri Ketua Menteri  Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada keputusan kerajaan negeri Sarawak untuk menambah bantuan RM16 juta kepada Rela, sebagaimana yang pernah disentuh oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

“Mana nak cari Ketua Menteri (Abang Johari) yang macam ini. Semua dasar-dasar, janji-janji Ketua Menteri terdahulu, semuanya beliau tekad untuk laksanakan, semuanya untuk pembangunan dan kesejahteraan Sarawak,” katanya.

Beliau menyeru supaya semua anggota Rela berjumlah 345,000 di Sarawak menyokong penuh kepimpinan Abang Johari yang dilihat serius dengan hasrat meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan Allahyarham Adenan, dengan niat semata-mata untuk membangunkan Sarawak.

Beliau seterusnya mengingatkan pemilih supaya bermaai-ramai keluar mengundi dalam PRK Dun Tanjong Datu pada 18 Februari ini sebagai tanda sayang serta kagum dengan kepimpinan penyandangnya Allahyarham Adenan, dan juga tanda sokongan penuh kepada balu Allahyarham Datuk Amar Jamilah Anu yang dipilih BN untuk bertanding dalam PRK itu.

– Bernama

.