DAP ADALAH KIT SIANG DAN ANAK SDN BHD, KATA MCA

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini melabelkan DAP sebagai sebuah syarikat milik persendirian dan bukan parti politik kerana jawatan tertinggi dipegang oleh individu yang sama.

“DAP bukan parti tapi parti Sdn Bhd. Kalau tengok presiden parti MCA dah tukar 10 orang, dia (DAP) seorang sampai sekarang bila jadi pengerusi, dia paling berkuasa.

“Jadi setiausaha publisiti dia juga paling berkuasa, itulah DAP punya legasi,” katanya.

Liow mengulas kemungkinan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, yang juga ahli parlimen Gelang Patah, bertanding di kerusi lain pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden MCA itu berkata rakyat boleh menilai perbezaan perkhidmatan yang disediakan oleh MCA dan DAP.

“Kalau penasihat mereka sendiri pun boleh lari tinggalkan tanggungjawab, apa maknanyalah DAP?” katanya yang dipetik oleh portal Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC).

Tambahan pula, Liow berkata ia adalah perkara lazim bagi Lim untuk melompat dari satu kerusi ke kerusi lain.

“Lari dari kawasan ke kawasan memang cara dia (Kit Siang) mengelak dari tanggungjawab beliau dari Melaka ke Penang, Ipoh ke Johor.

“Rakyat dah lihat siapa Kit Siang sebenar dan saya juga kata DAP tak ada prinsip, boleh jual apa sahaja prinsip yang ada, rebut kuasa dan dalam parti DAP tidak ada operasi kerana kita tahu DAP merupakan Kit Siang dan anak Sdn Bhd,” kata Liow merujuk kepada anak Lim, iaitu Guan Eng yang juga adalah setiausaha agung parti.

Semalam, Bernama melaporkan bahawa Kit Siang menyerahkan kepada pucuk pimpinan DAP untuk membuat keputusan di kerusi mana yang beliau perlu bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli politik veteran itu berkata buat masa ini beliau tidak mengetahui sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Gelang Patah yang diwakilinya atau bertanding di kawasan lain.

Beliau juga enggan mengulas sama ada akan bertanding di Pulau Pinang, di mana anaknya Lim Guan Eng adalah ketua menteri.

Ditanya mengenai desas-desus yang mengatakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, Kit Siang bertanya, “Adakah itu betul atau hanya khabar angin?”

Beliau mula dipilih sebagai wakil rakyat pada 1969 selepas memenangi kerusi Parlimen Bandar Melaka dan sejak itu, beliau bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Pulau Pinang, Melaka, Kuala Lumpur dan Johor.

Pada pilihan raya 2013, beliau mengalahkan bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Abdul Gani Othman di parlimen Gelang Patah.

– M’kini

.