DALAM DINGIN MALAM, PAKATAN TERIMA SAMBUTAN HANGAT ORANG KUALA TERENGGANU

MALAM terasa dingin sekali; angin terdengar menjerit dan hujan sekejap-sekejap datang ke tepi pantai ini ketika perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan Sea antara Malaysia dan Indonesia berlangsung.

Tetapi dingin malam 23 darjah selsius atau perlawanan bola sepak itu sama sekali tidak menghalang kira-kira 500 hadirin yang tetap riuh tepuk soraknya mendengar ceramah Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Apabila hujan renyai mereka berlindung di bawah payung besar dan kalau hujan lebat, mereka lari berteduh di bawah ruang pasar sehinggalah selesai Naib Presiden Amanah Husam Musa berucap.

Husam penceramah akhir selepas penasihat DAP Lim Kit Siang, pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Tetapi apakah mereka diyakinkan oleh ceramah ini bahawa Malaysia perlu diselamatkan dan Pakatan Harapan adalah penyelamatnya?

Skandal

“Malaysia perlu diselamatkan. Negara ini tenggelam dengan skandal yang berlonggok-longgok,” kata seorang lelaki berumur 54 tahun, Mat Zan Aris namanya.

“Kita perlu diselamatkan daripada salah guna kuasa dan rakyat perlu tegakkan semula kedaulatan undang-undang. Tiada siapa boleh terlepas daripada undang-undang,” kata penduduk Kuala Terengganu itu.

KC Chan, yang datang bersama dua rakannya, berkata negara ini terbelit hutang dan perlukan barisan pemimpin baru yang boleh merombak sistem.

“Hutang yang kita perlu bayar kepada China untuk projek Landasan Keretapi Pantai Timur akan melumpuhkan negara,” kata pengundi di Kuala Terengganu itu.

Seorang lagi penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad Bakri berkata keyakinan kerajaan tentang keadaan ekonomi semasa membingungkannya.

“Kalau ekonomi elok kenapa ringgit jatuh teruk berbanding mata wang Thailand, Indonesia dan Singapura?” katanya.

Lelaki 53 tahun itu menyalahkan pemimpin yang ada atas segala masalah yang membelenggu negara.

“Mereka bercakap masa orang ada kuasa dan bukannya macam orang yang diberi kuasa. Pengundi yang beri mereka kuasa dan pengundi boleh tarik balik kuasa itu,” tambahnya.

Menurut laporan, sejak 2008, Ringgit jatuh 27.7% berbanding mata wang Singapura, Thailand dan Korea Selatan yang merosot 6.8%.

Sehingga selesai Naib Presiden Amanah Husam Musa berucap, rakyat terus mendengar ceramah walaupun terpaksa berlindung kadang di bawah payung besar, kadang di pasar besah kerana hujan lebat malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Ogos, 2017.
Sehingga selesai Naib Presiden Amanah Husam Musa berucap, rakyat terus mendengar ceramah walaupun terpaksa berlindung kadang di bawah payung besar, kadang di pasar besah kerana hujan lebat malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Ogos, 2017.

Kredibiliti Dr Mahathir

Bagi Christopher Loh, seorang perunding yang kebetulan datang ke Kuala Terengganu, kehadiran bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam PH memberikan dia satu keyakinan yang besar.

“Beliau ada pengalaman menguruskan negara dan pernah meletakkan kita di peta dunia. Pemimpin sekarang pun letak kita di peta dunia, tapi untuk sebab yang lain,” kata pengundi dari Selangor itu.

“Kita pernah digelar harimau ekonomi tetapi di mana kita sekarang?” tanyanya.

Bagi Ahmad, dalam keadaan seperti ini “apa pun pastilah lebih baik daripada apa yang ada sekarang.”

“Kita perlu ubah kerajaan demi rakyat Malaysia. Mereka menjahanamkan negara dengan politik kaum dan agama.

“Masa zaman Dr Mahathir, orang berbilang kaum boleh campur gaul dan bergurau sesama sendiri. Tetapi sekarang tidak lagi sebab kerajaan laga-lagakan kita semua.”

Mat Zan bagaimanapun membayangkan Pakatan Harapan ada banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk meyakinkan pengundi di Terengganu.

“Masih banyak penyokong tegar Umno dan PAS di Terengganu. Mereka buat tak tahu saja walaupun kita dah tunjukkan apa yang berlaku. Kalau Pakatan hendak menang, orang macam inilah yang perlu mereka tarik.”

Jalan masih lagi panjang untuk Pakatan boleh bertapak di Terengganu yang selama ini kubu tradisi sama ada PAS mahupun Umno.

Tetapi pada satu malam yang dingin ini, mereka dapat merasakan hangatnya sambutan yang diberikan di Pasar Chabang Tiga.

– https://www.themalaysianinsight.com

.