DAKWAAN RASUAH BERNIAT JAHAT, KATA KHALED NORDIN

MENTERI Besar Johor Mohamed Khaled Nordin hari ini menafikan tuduhan yang mengaitkannya dengan skandal hartanah negeri tersebut seperti yang dibangkitkan oleh wakil rakyat pembangkang.

Khaled berkata, tuduhan yang mengaitkannya itu dengan skandal hartanah yang turut melibatkan seorang bekas exco kanan kerajaan negeri itu sebagai satu fitnah.

“Pertama sekali saya menafikan sekeras-kerasnyta tuduhan tidak berasas tersebut. Ia adalah fitnah, tidak benar dan tidak bersangkutan dengan saya.

“Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan kepada saya dan pentadbiran saya,” kata Khaled dalam ucapan penggulungannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar hari ini.

Khaled turut menambah bahawa cubaan mengaitkannya dengan skandal tersebut sebagai satu tindakan dengan niat jahat untuk memalukan dan mencemarkan nama baiknya secara peribadi serta kepimpinan kerajaan negeri.

Khaled turut berterima kasih dengan SPRM yang bertindak pantas mengesahkan bahawa dokumen tersebut adalah dokumen rahsia, dan ianya dikeluarkan secara terpilih dan ditokok tambah.

“Ini bermakna, kandungan yang tersebar adalah tidak benar, tidak tepat dan terpesong dari kandungan asal,” katanya lagi.

Khaled, yang juga Adun Permas, turut menjelaskan yang beliau tidak berada dalam negara pada tarikh beliau didakwa menerima wang berkait skandal berkenaan.

“Memadai untuk saya nyatakan di sini bahawa pada tarikh-tarikh yang dirujuk dalam petikan dokumen tersebut, saya berada di luar negara dan tempat-tempat lain dalam pelbagai urusan dan langsung tidak berada di Pejabat Perhubungan Umno negeri. Apatah lagi menerima suapan!”

Portal berita The Mole pada 29 November melaporkan yang sumber terdekat Khaled berkata menteri besar Johor tersebut tidak berada dalam negeri pasa 17 Jun, tarikh yang dikatakan dia ada menerima sejumlah RM700,000 wang rasuah bagi menukar status perumahan lot Bumiputera kepada status lain.

Khaled, yang mempunyai latar belakang undang-undang, turut menempelak wakil rakyat pembangkang untuk memahami sistem perundangan, di mana kenyataan orang kena tuduh (OKT) dalam mana-mana kes tidak boleh diambil sebagai bukti selagi ia tidak diteliti dan disokong melalui proses undang-undang yang sah.

Tambahnya, hanya mahkamah boleh memutuskan sama ada kenyataan saksi boleh diterima sebagai bukti atau tidak.

“Jadi sesiapa yang mendapat salinan petikan atau membacanya, mesti lebih berhati-hati. Kita mesti mengetahui bahawa kandungannya bukanlah kebenaran yang mutlak, ia boleh diragui, boleh dipertikaikan. Lebih-lebih lagi jika yang menerima dan membaca dokumen seperti ini adalah seorang Adun. Seorang pembuat undang-undang.

“Sudah semestinya kita mengharapkan seorang Adun untuk mengetahui perkara-perkara sebegini.”

Khaled turut menyelar Adun Senai Wong Shu Qi yang membangkitkan isu ini dalam sidang DUN pada Isnin lalu dengan bersandarkan maklumat yang diperolehi dari sumber yang disifatkan Khaled sebagai tidak berkredibiliti.

“Yang berhormat (Senai) sebenarnya sangat salah, sangat berniat jahat, sangat keterlaluan. Malah telah melanggar undang-undang dan mencemarkan wibawa dewan ini dengan menggunakannya untuk membocorkan rahsia rasmi kerajaan untuk melakukan fitnah dan merendahkan pengurusan keadilan di Malaysia,” tambahnya lagi.

Sambil menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Wong, Khaled turut berkata beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang mengulangi tuduhan tersebut kepadanya.

Khamis lalu, Khaled menegaskan beliau tidak akan lari dari berdepan tuduhan yang mengaitkannya dengan rasuah hartanah, dan akan menjawabnya dalam sesi penggulungannya hari ini.

“Isu lain, hari Isnin saya akan jawab. InsyaAllah.

“Sebab benda itu dibangkitkan dalam dewan dan sebenarnya ada bicara, tak boleh cakap di luar.

“Tak apalah, kita tunggu hari Isnin. Saya tidak akan lari, saya ada di sini,” katanya kepada wartawan di luar sidang DUN Johor di Kota Iskandar minggu lalu.

Perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, yang juga salah seorang suspek skandal hartanah Johor membuat laporan polis pada 29 November setelah menyedari dokumen yang ditularkan dalam blog dan media sosial, yang melibatkan keterangan yang diberikan olehnya kepada SPRM, adalah berbezadaripada keterangan asalnya yang direkodkan.

“Terdapat beberapa halaman tiada disertakan, malah terdapat satu jadual pembayaran yang dimuatkan yang tiada kena mengena langsung dengan siasatan yang dijalankan ke atas saya.

“Muka depan Penyataan Dalam Pemeriksaan itu berbeza dengan yang dibuat oleh saya. Saya dapati pemilik blog dan Facebook itu sengaja cuba menjatuhkan maruah saya,” kata Amir dalam laporan dibuatnya itu.

Amir turut menggesa supaya semua pihak yang mempunyai akses kepada rakaman percakapannya yang sebenar, disiasat kerana kebocoran yang berlaku.

Amir berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguamnya, Azrul Zulkifli Stork dari Tetuan Azhardin & Associates.

Menurutnya, siasatan harus merangkumi SPRM, bekas exco kerajaan negeri Abd Latif Bandi dan barisan peguam belanya.

“Anak guam kami berpendapat suatu siasatan rapi harus dijalankan bukan sahaja kepada anak guam kami dan kami, malah harus meliputi pihak SPRM sendiri, peguam bela-peguam bela Abd Latif Bandi dan Abd Latif Bandi.

“Anak guam kami memohon semua pihak bekerjasama dengan pihak polis agar dalang sebenar dapat dibawa ke muka pengadilan,” kenyataan tersebut berbunyi.

Amir dan Abd Latif dan seorang lagi tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 14 Jun lepas dan berdepan 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta.

Kedua-dua mereka turut berdepan 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta pada 19 April.

– https://www.themalaysianinsight.com

.