DAKWAAN JENAYAH SEKS: POLIS TAHAN PEMBANTU ADUN

Polis hari ini menahan seorang lelaki yang didakwa sebagai pembantu khas kepada ADUN DAP bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang didakwa dicabul pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ketika ini suspek berusia dalam lingkungan 40-an itu sedang menjalani ujian air kencing.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Suspek juga akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya di Pulau Pinang hari ini.

Kejadian dikatakan berlaku di sebuah tempat letak kereta di Lebuh Pantai, Georgetown, pada 6 Julai. Wanita berusia 21 tahun itu membuat laporan dengan balai polis Lebuh Pantai pada hari berikutnya.

Difahamkan lelaki itu juga adalah bekas seorang ahli majlis. Beliau digugurkan dari jawatannya sebelum pilihan raya umum 2013.

Menurut laporan yang dibuat, mangsa turut mendakwa suspek melakukan onani dalam kereta selain menawarkan sejumlah wang untuk tidur bersamanya.

– M’kini

.