DAKWAAN IPG DITUTUP HANYA KHABAR ANGIN

PASIR PUTEH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merangka pendekatan strategik bagi memanfaatkan kemudahan fizikal dan kepakaran tenaga pengajar Institusi Pendidikan Guru (IPG) untuk pembangunan akademik dan kemahiran vokasional mulai tahun ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, sebanyak 11 IPG yang tidak membuat pengambilan guru pelatih baharu boleh dimanfaatkan sebagai pusat pendidikan lanjutan dalam meningkatkan prosfional guru atau menempatkan pelajar politeknik atau vokasional.

Katanya, dakwaan yang mengatakan kerajaan akan menutup sebahagian IPG kerana kekangan kewangan adalah tidak benar sama sekali.

“Kita mengakui jumlah pengambilan guru pelatih baharu berkurangan tapi ia berasaskan kepada keperluan semasa, isu yang disebarkan menerusi media sosial yang mengatakan IPG akan ditutup adalah khabar angin.

“Ianya tidak benar yang seolah-olah menggambarkan KPM tidak mempunyai pendekatan strategik dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam perkara berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil di sini.

Beliau berkata, sebanyak 11 daripada 27 IPG di seluruh negara akan dimuktamadkan statusnya dari aspek penggunaan dan keperluan dalam menjana pendidikan negara.

Katanya, memanfaatkan kemudahan sedia ada adalah lebih baik berbanding mengeluarkan peruntukan baharu membina bangunan untuk pendidikan politeknik dan vokasional.

“Kementerian menilai pelbagai aspek dan keperluan selaras dengan aspirasi negara dan pensyarah yang terbabit tidak perlu menaruh kebimbangan mengenai status mereka kerana kebajikan tenaga pengajar tetap diberi keutamaan,” katanya.

Mahadzir berkata, keperluan guru pada masa kini adalah dalam keadaan yang stabil dan mencukupi dengan hanya perlu menggantikan sejumlah bilangan guru pencen dan guru meninggal dunia atau menamatkan perkhidmatan.

“Pada 25 tahun lalu Maktab Perguruan (sebelum status IPG) membuat pengambilan guru pelatih di antara 2,000 hingga 2,500 setiap tahun. Kini pengambilan adalah berdasarkan keperluan dan pengajian guru pelatih masa kini mengambil tempoh yang lebih lama dan bertaraf siswazah,” katanya.

– SH

.