DAKWAAN DIBAYAR RM9.5 JUTA MENGARUT

SHAH ALAM – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan dakwaan beliau dibayar RM9.5 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mengarut.

Menurut Muhammad Shafee, beliau tidak akan layan tuduhan tersebut kononnya bayaran itu diterima daripada 1MDB bagi memenjarakan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua mengarut, perkara itu kini di mahkamah. Jadi saya akan jumpa Anwar di mahkamah mengenai RM9.5 (juta) itu. Nanti kita lihat apakah dia betul,” katanya seperti dipetik dari portal Malaysiakini.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa Najib membayar Muhammad Shafee sebanyak RM9.5 juta bagi mengendalikan kes liwat membabitkan Anwar.

Muhammad Shafee merupakan ketua pendakwa dalam kes liwat II membabitkan Anwar apabila kes itu dibawa ke mahkamah rayuan dan persekutuan.

Mengulas kenyataan Anwar bahawa beliau terlibat penyambungan perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Makinudin, Muhammad Shafee sekali lagi menganggapnya sebagai mengarut.

– SH

.