‘DAKWAAN DAPAT RM9.5 JUTA DARI NAJIB TAK MASUK AKAL’

Peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akhirnya membuka mulut berhubung tuduhan Sarawak Report bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayarnya RM9.5 juta.

Shafee yang merupakan ketua pendakwa dalam perbicaraan kes liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “tidak masuk akal”.

“Saya mahu membuat komen, tetapi saman itu telah difailkan dan oleh itu saya tidak dapat mengulas.

“Saya memfailkan permohonan untuk membatalkannya dan juga (mengemukan) afidavit sokongan dan saya boleh katakan sekarang ini ia adalah tidak masuk akal. Ia juga terdapat dalam afidavit yang saya failkan,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula Anwar untuk mengetepikan sabitan kes liwat II berdasarkan tuduhan Sarawak Report.

Kecewa dengan keputusan itu, peguam Anwar, N Surendran dan Latheefa Koya berkata, anak guam mereka telah mengarahkan mereka untuk memfailkan rayuan.

Surendran juga menggesa Najib sama ada mengaku atau menafikan dakwaan Sarawak Report.

“Setakat ini, beliau tidak membuat sebarang komen mengenai perkara itu,” katanya.

Tuduhan Sarawak Report menimbulkan spekulasi konspirasi terhadap Anwar apabila Shafee dilantik pada 22 Julai 2013 untuk mengetuai pasukan pendakwaan di Mahkamah Rayuan dan bukan melalui amalan konvensional menggunakan khidmat pendakwaraya awam.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar dari tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 mengekalkan sabitan tersebut.

Anwar, yang dijangka akan dibebaskan tahun depan sentiasa mempertahankan bahawa tuduhan terhadapnya dibuat oleh musuh politik beliau, tetapi dinafikan pihak berkuasa.

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang dituduh bersubahat untuk menjatuhkan Najib, mendakwa bayaran RM9.5 juta itu dibuat dalam dua peringkat dari akaun Najib.

Bayaran pertama dibuat pada 11 September 2013 dan yang kedua pada 17 Februari 2014.

Pada tahun 2015, kerajaan memberitahu parlimen bahawa Shafee dibayar sebanyak RM1,000 untuk bertindak sebagai pendakwa utama dalam liwat II.

Shafee menguncikan mulut sejak Sarawak Report membuat tuduhan berkenaan.

– M’kini

.