DAKWAAN ADUN LOMPAT PARTI MACAM FILEM BOLLYWOOD

Dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan wakil rakyat PAS akan melompat parti menjelang pilihan raya umum (PRU) dianggap seperti filem Bollywood yang dapat dijangka jalan ceritanya.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Halimah Ali berkata ketika detik PRU semakin hampir ramai orang yang “meracau” dan jika ia menjangkiti pihak lain boleh menyebabkan mereka hilang kewarasan.

“Yang betul dikata salah. Yang salah dikata betul. Yang dulu lawan, dianggap kawan. Yang dulu kawan dilawan habis-habisan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Halimah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dipercayai merujuk kepada khabar angin mendakwa ada wakil rakyat PAS di Selangor akan menyertai parti lain.

Mereka didakwa bertindak demikian bagi memastikan kekal dicalonkan parti pemerintah pada PRU ke-14 yang perlu diadakan selewat-lewatnya Ogos tahun depan.

Mandat kerajaan melalui PRU ke-13 akan berakhir pada Jun dan parlimen mesti dibubarkan sebelum tempoh berkenaan.

Bagaimanapun tidak seperti amalan di negara demokrasi lain tarikh PRU di Malaysia tidak akan diumumkan perdana menteri sehingga saat-saat akhir, mengehadkan peluang parti pembangkang membuat persediaan sewajarnya.

Pengarah bertukar-tukar

Banyak pihak yakin PRU akan diadakan dalam tempoh kurang 100 hari dari sekarang.

Dakwaan ada ADUN akan melompat parti itu sudah dinafikan naib presiden serta exco kanan Selangor Datuk Iskandar A Samad pada 23 Dis lalu.

Pimpinan lain pula menegaskan berita berkenaan adalah fitnah.

Dr Halimah berkata ‘drama’ yang dimainkan di Selangor terus dimainkan dari satu episod ke episod lain tanpa jemu.

“Pengarah drama best seller ini mungkin silih berganti, mungkin lain platform tetapi barangkali mereka disatukan oleh matlamat yang sama,” katanya.

Beliau yang pernah menjadi exco Selangor di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim berkata pihak yang membuat dakwaan itu menyasarkan PAS bagi membina tanggapan negatif terhadap parti berkenaan.

“Adakah skrip berikutnya mereka akan melontarkan (dakwaan) bahawa sebahagian ADUN PAS akan masuk DAP pula?” katanya.

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN. Tiga belas daripadanya diwakili PAS, manakala DAP 14. PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) pula masing-masing sebanyak 13 dan dua kerusi.

BN yang menjadi pembangkang menguasai 12 kerusi manakala baki dua lagi diwakili ADUN bebas.

Tiga daripada ADUN PAS terbabit dilantik menjadi exco kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Datuk Seri Azmin Ali.

– M’kini

.