DAKWA ‘SEMBUNYI’ DATA PELANCONG, MENTERI KATA AMK ‘BODOH, JAHIL’

Pemimpin Pemuda PKR (AMK) Lee Chean Chung dan Wong Chun Yuan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena berhubung ketiadaan data kemasukan pelancong asing ke Malaysia bagi bulan September dan Oktober .

Mereka juga mendakwa bahawa jumlah kemasukan pelancong telah menurun dan ini berkaitan dengan cukai pelancongan yang berkuat kuasa pada September lalu.

Walau bagaimanapun, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, yang terkenal dengan kelantangannya, membidas kedua-dua mereka sebagai “bodoh dan jahil”.

Dalam satu kenyataan media, petang ini, Lee, adalah ketua penerangan AMK dan Wong, yang mengetuai AMK Pahang, berkata, laman web My Tourism Data tidak menunjukkan jumlah pelancong bagi bulan September dan Oktober.

“Kami telah menghubungi Tourism Malaysia dan telah dimaklumkan bahawa data kemasukan pelancong asing ke Malaysia bagi bulan September dan Oktober telah diperolehi tetapi tidak dibenarkan untuk dipaparkan bagi semakan orang awam,” kata mereka.

Menurut pemimpin AMK itu, sumber Kementerian Pelancongan mendedahkan bahawa bagi September, sejumlah 2,092,378 pelancong melawat Malaysia sedangkan pada Oktober lalu, angka itu ialah 1,997,069.

“Apa yang mengejutkan ialah kedatangan pelancong untuk bulan Oktober menyaksikan penurunan sebanyak 14.16 peratus berbanding Oktober 2016.

“Oktober 2017 juga mencatat jumlah pelancong yang paling rendah sejak Julai 2015. Sejak itu, angka berkenaan tidak pernah jatuh di bawah dua juta orang,” kata mereka.

Sehubungan itu, pemimpin AMK berkenaan mendesak Nazri menjelaskan sebab tidak mengumumkan data bagi September dan Oktober.

“Apakah motif Kementerian Pelancongan melarang pengumuman data kemasukan pelancong pada bulan Sept dan Okt 2017?

“Adakah ia untuk menjaga imej kerajaan yang telah melaksanakan cukai pelancongan?” soal mereka.

Lee dan Wong juga mahu menteri mengesahkan sama ada angka yang dipetik pasangan itu untuk bulan September dan Oktober adalah tepat serta mendedahkan langkah-langkah yang dilaksanakan untuk membetulkan keadaan.

“Apakah tindakan kerajaan bagi memastikan industri pelancongan Malaysia dapat bersaing dengan negara Thailand dan Indonesia yang mencatatkan perkembangan positif dalam industri pelancongan pada tahun ini?” soal mereka.

Sementara itu, Nazri memberitahu Malaysiakini bahawa angka itu dikeluarkan setiap suku tahun.

“Tunggu hingga akhir Disember. Angka itu akan dikeluarkan pada Januari. Bukan seperti PKR, kita tidak menyembunyikan fakta … Saya tidak akan lari, itu bukan gaya saya,” katanya.

Menteri itu juga menafikan bahawa cukai pelancongan adalah akibat penurunan kemasukan berkenaan dan berkata, jumlah pelancong juga menyaksikan penurunan pada tahun 2015 dan 2016 sebelum cukai dilaksanakan.

Nazri juga menjelaskan bahawa angka itu tidak pernah diterbitkan setiap bulan.

“Saya perlu bentang (jumlah) ke kabinet sebelum boleh dedahkannya dan ini selalunya (dikeluarkan) setiap suku tahun tetapi angka-angka itu akan berasaskan bulanan.

“Saya tahu PKR tidak tahu bagaimana kabinet berfungsi kerana mereka bodoh dan tidak semak terlebih dahulu. Saya mahu mendidik PKR yang jahil ini mengenai apa yang kita lakukan, “katanya.

– M’kini

.